Pihak Berkuasa Perlu Pantau Pihak Laga Sarawak & Persekutuan


KUCHING: Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau individu tertentu yang melagakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan kerajaan persekutuan.

Pejabat Ketua Menteri baru-baru ini mengeluarkan kenyataan menafikan berita palsu yang mengaitkan Adenan mengancam untuk membawa Sarawak keluar dari Malaysia.

Memetik laporan Utusan Borneo, pengguna media sosial yang sengaja menyalahgunakan kemudahan tersebut sebagai landasan menyebarkan fitnah untuk menyemai perasaan benci terhadap kerajaan persekutuan dan negeri sehingga membawa kepada ketegangan kaum akan berhadapan dengan tindakan undang-undang.

“Individu yang sengaja menjadikan media sosial sebagai landasan menyebarkan fitnah perlu menghentikan perbuatan tersebut atau berhadapan dengan tindakan undang-undang.

“Pihak tertentu menyebarkan maklumat palsu untuk mewujudkan ketegangan di antara Adenan selaku Ketua Menteri dengan kerajaan persekutuan merupakan perbuatan keji dan berniat jahat,” kata Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya.

Menurut Abdul Karim, usaha Adenan menuntut hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 telah dimanipulasikan pihak tertentu untuk kepentingan sendiri.

“Kita memang mahukan hak-hak Sarawak dikembalikan dan dipelihara. Namun, sekiranya terdapat percubaan sesiapa atau mana-mana gerakan mahukan Sarawak keluar dari Malaysia, itu adalah pengkhianatan,” ujarnya.-Sarawakiana



No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA