Piala Solidariti AFC 2016 Pentas Penting Baiki Ranking FIFA


KUCHING: Sukar mengatur perlawanan persahabatan peringkat antarabangsa dan untuk membaiki kedudukan dalam ranking FIFA membuatkan beberapa negara Asia menganggap Piala Solidariti AFC 2016 sebagai platform penting.

Ini kerana kebanyakan pasukan dari negara Asia yang bertanding pada kejohanan tersebut berada pada kedudukan rendah dalam rangking FIFA.

Ketua jurulatih Macau, Tam Jao San turut mengakui kejohanan yang berlangsung di Stadium Negeri dan Stadium Sarawak itu sebagai pentas untuk bersaing di peringkat antarabangsa kerana pasukannya agak sukar untuk mengatur perlawanan antarabangsa.

"Kejohanan ini merupakan idea bagus terutama untuk membolehkan pasukan yang berada di rangking bawah (seperti kita) untuk bersaing dengan pasukan Asia lain.

"Pada masa sama pemain kita juga dapat menimba pengalaman di peringkat tertinggi dan bermain perlawanan antarabangsa sekurang-kurangnya tiga kali pada kejohanan ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ketua jurulatih Laos, Valakone Phomphakdy pula berkata, kejohanan tersebut bakal menjadi pentas untuk mencorak kombinasi pemain lama dan pemain muda pada pentas antarabangsa.

"Kita membawa pemain Piala Suzuki AFF dan pemain muda untuk bersaing pada kejohanan ini.

"Tiada harapan tinggi diletakkan pada kejohanan ini namun apa yang penting pemain dapat menampilkan permainan terbaik," ujarnya.

Sementara itu, ketua jurulatih Mongolia, Inai Toshakhi menyifatkan kejohanan tersebut sebagai platform mengetengahkan pemain muda selain memantapkan pasukannya.

"Saya baharu dua minggu bersama pasukan dan ini adalah kejohanan besar pertama saya.

"Kejohanan ini penting untuk Mongolia dan untuk pemain muda kita," jelasnya.

Malam ini berlangsung perlawanan pembukaan Piala Solidariti AFC 2016 antara Brunei Darussalam dan Timor Leste di Stadium Sarawak bermula jam 7.30 malam.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA