Piala Dunia 2022 Tanpa Alkohol



DOHA - Minuman keras akan men­jadi bahan larangan di tempat awam dan jalanan, termasuk stadium jika Qatar mengendalikan Piala Dunia 2022 mengikut cara mereka, kata Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Hassan Al-Thawadi hari ini.

Kenyataan yang dikeluarkan Hassan itu bertentangan dengan tradisi bola sepak sebelum ini, malah peminat juga tidak gembira apabila kejohanan berprestij tersebut terpaksa dianjak ke musim sejuk atas kebimbingan terhadap suhu panas di Qatar.

Spekulasi berhubung larangan minuman keras di dalam stadium telah lama didengari, dan banyak pihak selama ini tertanya-tanya bagaimana Qatar akan mengendalikan isu berkenaan kerana ia pasti me­ngundang konflik di antara Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan penaja.

“Pengambilan alkohol tidak akan dibenarkan di jalanan, tempat awam, dataran dan ia muktamad.

“Bukan semua tempat dilarang tetapi hanya boleh minum di tempat yang jauh,” katanya dalam temuramah bersama ­akhbar berbahasa Arab, Al-Sharq.

Minuman beralkohol tidak sepenuhnya dilarang di Qatar dan ia boleh didapati di hotel, yang mana warga asing yang menetap di situ boleh membelinya selepas memohon lesen.

Minum di tempat awam bagaimanapun tidak dibenarkan, malah membawa masuk alkohol ke negara itu juga dilarang.

Menurut Hassan lagi, mereka tidak boleh menentang undang-undang negara hanya demi pe­nganjuran.

“Saya tidak pernah bincang dengan FIFA me­ngenai per­kara ini dan saya tahu FIFA memberi tekanan hebat kepada Rusia (tuan rumah Piala Dunia 2018) untuk menukar undang-
undang negara itu.

“Bagaimanapun pendirian ka­mi jelas, apa yang kami lakukan perlulah selari dengan undang-undang dan tradisi negara ini,” katanya lagi. – AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA