Pewaris Rumah Jumpa 100 Kg Emas



PARIS: Seorang lelaki yang mewarisi sebuah rumah agam daripada ahli keluarganya seperti mendapat ‘durian runtuh’ apabila terjumpa sejumlah 100 kilogram emas yang tersembunyi di bawah perabot rumah tersebut.

Lapor BBC, lelaki ber­kenaan yang enggan didedahkan identitinya, menemukan emas tersebut di pelbagai lokasi termasuk di bawah timbunan kain dan bilik mandi.

“Terdapat 5,000 kepingan emas, dua jongkong emas seberat 12 kilo­gram dan 37 jongkong emas seberat 1 kilogram,” kata juru­lelong, Nicolas Fierfort kepada AFP.

Menurut laporan, keseluruhan emas itu dianggarkan bernilai AS$3.7 juta (RM16.3 juta).

Pada mulanya, Fierfort datang ke rumah yang terletak di Evreux, Normandy itu untuk menilai pera­bot yang bakal dijual oleh pemilik rumah berkenaan.

Namun dia terkejut apabila kepingan syiling dan jongkong emas ditemukan ketika pemilik itu mengalihkan perabot.

“Pada ketika itu, lelaki ber­kenaan (pemilik rumah) terus memanggil peguamnya untuk menyenaraikan secara terperinci penemuan tersebut,” kata Fierfort.

Berdasarkan sijil yang ditemukan, emas itu dibeli secara sah sekitar 1950-an dan 1960-an.- Utusan Malaysia

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA