Perut Penuh Plastik, Wanita OKU Dibedah


NEW DELHI: Sepasukan doktor terkejut besar ketika menjalankan pembedahan terhadap seorang wanita yang mengalami sakit perut apabila mendapati perut wanita itu dipenuhi dengan plastik.

Tara Devi, 52, merupakan seorang wanita miskin yang cacat pendengaran dan bisu berasal dari daerah Sirmaur, Himachal Pradesh, India, dan dibawa ke sebuah hospital di Solan oleh seorang penduduk tempatan selepas mengalami kesakitan di perut.

Selepas menjalani beberapa ujian pemeriksaan, doktor mengesan sekelompok benda asing di dalam perutnya yang pada awalnya disangka segumpal rambut, sekali gus memerlukan pembedahan segera untuk membuangnya.

Bagaimanapun, semasa prosedur itu dijalankan, doktor mendapati gumpalan tersebut merupakan plastik yang dimakan oleh Tara ketika wanita itu kelaparan.

Malah tugas mengeluarkan plastik tersebut juga menemukan kesukaran kerana doktor tidak boleh berkomunikasi dengan Tara akibat masalah percakapan.

Namun individu yang membawa wanita itu ke hospital mendedahkan, Tara merupakan wanita yang sangat miskin dan hidup bersendirian selain tidak mendapat sebarang bantuan sosial.

Dia sering memakan plastik ketika kelaparan sejak beberapa tahun lalu, sekali gus menjadi punca sakit yang dialaminya itu.

Mujur pembedahan tersebut berjaya membuang kesemua plastik sepanjang 2.1 meter di dalam perutnya dan keadaan Tara dilaporkan semakin pulih.-mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA