Peruntukan Kewangan KBS Dilulus Dalam Mesyuarat Dihadiri KSU


KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa diberitahu sebarang permohonan peruntukan kewangan untuk aktiviti dan program di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Wang Amanah Sukan Negara.

Penolong Setiausaha Bahagian Pengurusan Aset Awam Kementerian Kewangan Nur Aidawati Aziz, 33, berkata mesyuarat itu dipengerusikan Ketua Setiausaha KBS dan turut dihadiri bekas Setiausaha Bahagian Kewangan KBS, Otman Arsahd, 57, dan anggota jawatankuasa lain.

"Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya dua kali dalam setahun di tempat dan waktu yang ditetapkan oleh pengerusi.

"Berdasarkan pengalaman saya sejak bertugas di Kementerian Kewangan pada 2014, mesyuarat diadakan lebih kurang setiap bulan," katanya dan mengakui pernah menghadiri mesyuarat itu beberapa kali.

Nur Aidawati, yang merupakan saksi pendakwaan kedua, berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Izhani Zainal pada hari pertama perbicaraan kes Otman yang menghadapi 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan nilai RM38.4 juta.

Nur Aidawati berkata mesyuarat itu dihadiri oleh pengerusi iaitu Ketua Setiausaha KBS, Otman, wakil Kementerian Kewangan dan beberapa wakil KBS yang membincangkan permohonan atau pengeluaran peruntukan bagi aktiviti sukan, termasuk program di bawah KBS.

Saksi itu berkata kebiasaannya keputusan untuk meluluskan sesuatu peruntukan dibuat pada hari sama, ketika mesyuarat berlangsung.

Ditanya Izhani bagaimana peruntukan diluluskan, Nur Aidawati berkata peruntukan diluluskan berdasarkan kertas kerja yang dibentang dan lazimnya tiada bantahan dikemukakan anggota jawatankuasa.

Kertas kerja yang dibentang biasanya mengandungi permohonan daripada agensi dan anggaran perbelanjaan yang dicadangkan, katanya.

Kepada soalan Izhani sama ada agensi yang menerima peruntukan perlu melapor semula kepada jawatankuasa mengenai wang yang diterima, saksi itu menjawab: "Tidak."
"Jawatankuasa tidak mempunyai garis panduan berhubung penyaluran peruntukan. Bagi pandangan saya ia (melapor semula) tidak perlu," katanya.

Pada 31 Mac lepas, Otman yang diwakili peguam Muhammad Farid Abdul Aziz dan Zaid Roslan, mengaku tidak bersalah atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan nilai RM38.4 juta, empat tahun lepas.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Pejabat Majlis Sukan Negara (MSN), Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, di sini, antara 28 Feb 2012 hingga 18 November 2015.

Bagi 15 tuduhan menyalahgunakan kedudukan, Otman didakwa mengarahkan Ketua Pengarah MSN untuk membuat bayaran kepada syarikat Dial Ex Sdn Bhd, milik dua anaknya, berjumlah RM2,161,000 bagi membiayai pelbagai program kementerian, antaranya program Futsal 2012 dan program sampingan Formula One (F1) 2013.

Pendakwaan bagi kesemua kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi 17 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu, Otman didakwa memberi surat pembayaran melalui akaun kementerian kepada Pengarah Bahagian Kewangan MSN, Abdul Rashid Yaakub, untuk bayaran pelbagai program kementerian kepada tiga syarikat milik rakannya berjumlah RM36,310,400.

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 akta sama yang memperuntukkan hukuman sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung pada Rabu. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA