Persembahan Api Hampir Bakar Penonton



LVOV (Ukraine): Aksi berani seorang lelaki yang membuat persembahan menggunakan api di sebuah kelab malam di sini bertukar tragedi apabila premis hiburan berkenaan terbakar.

Kejadian yang berlaku di sebuah pusat hiburan di sini kelmarin itu menyebabkan 12 orang cedera termasuk dua cedera parah.

Kebakaran berlaku ketika seorang lelaki membuat persembahan menggunakan api di pentas di kelab malam itu yang dipenuhi kira-kira 250 pengunjung.

Satu rakaman video yang dirakam seorang pengunjung menunjukkan lelaki itu meminum sejenis cecair sebelum menyembur pada api menyebabkan api keluar dari mulutnya.

Lelaki itu membuat beberapa semburan api yang besar dan secara tidak sengaja mengakibatkan siling di premis berkenaan terbakar.

Pada mulanya, beberapa pekerja cuba memadamkan kebakaran berkenaan tetapi api merebak dengan cepat menyebabkan pengunjung panik dan segera melarikan diri.

Jurucakap bomba berkata, anggota bomba yang tiba berjaya mengawal kebakaran itu tetapi kejadian itu menyebabkan sebahagian premis hiburan berkenaan musnah.

“Beberapa pengunjung dirawat dan dihantar ke hospital kerana sesak nafas akibat terhidu asap tebal,” katanya.- Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA