Pernah Berimej Seperti 'Mak Lampir' Zur Eda Difitnah Guna Bomoh


SHAH ALAM: Penyanyi Zur Eda meluahkan rasa kecewa apabila ada pihak mengaitkan dirinya terlibat dalam aktiviti tahyul seperti menggunakan bomoh ketika berada dalam pertandingan Gegar Vaganza 3 (GV3).

Zur Eda Mokhtar, 51, berkata, tuduhan itu antara fitnah terburuk pernah diterimanya selama lebih tiga dekad bergelar anak seni.

"Hanya kerana imej dan pernah tampil dengan gaya rambut serabai ala-ala 'mak lampir', ada pihak telah melemparkan fitnah kononnya saya terlibat dalam perkara tahyul selain turut membomoh peserta lain dalam GV3.

"Tuduhan sebegitu agak keterlaluan yang boleh saya katakan antara fitnah terburuk pernah saya terima sekali gus mencalarkan reputasi saya sebagai anak seni,” katanya.

Zur Eda ditemui mStar Online selepas diumumkan sebagai peserta tersingkir pada konsert suku akhir GV3 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, pada malam Ahad.

Menerusi minggu yang mengangkat tema Rock Dut ini, dia membawa lagu Amelina berjudul Ah Rindu Lagi.

Kata pelantun lagu Kelmarin ini lagi, dia tidak mampu untuk menutup setiap tuduhan netizen sebaliknya boleh menjelaskan dia langsung tidak mempercayai perkara-perkara karut yang boleh memesongkan akidah sebagai umat Islam.

"Jangan hukum saya hanya dengan melihat luaran saya sahaja kerana saya bukan terlalu jahil sehingga tidak tahu hukum syirik dan menduakan Allah itu adalah satu dosa besar.

"Kenapa perlu timbul isu bomoh- membomoh sedangkan kami di GV3 umpama sebuah keluarga sehinggakan ada di antara peserta sudah saya anggap seperti anak sendiri.

Kata ibu kepada dua anak ini lagi, dia tidak mahu dengan fitnah sebegitu akan memberi kesan negatif kepada keluarga terutama pada anak-anaknya.

"Benda-benda macam inilah kadang-kadang buat saya serik dan hilang fokus untuk terus berjuang di GV3 kerana saya tidak mahu tempias gosip yang tidak benar turut terkena pada keluarga terutama pada anak- anak saya," katanya dalam nada kecewa.

Berkongsi lanjut tentang perancangan kerjaya seninya selepas ini, kata Zur Eda dia bakal menerbitkan sebuah single bersama seorang komposer yang terpaksa dirahsiakan dahulu identitinya.

Selain itu, dia amat bersyukur kerana dengan menyertai GV3, peminat- peminatnya kini mula bertambah daripada pelbagai generasi.-mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA