Permohonan BERSIH adakan perhimpunan di Panggung Udara tidak diluluskan

Image result for Bersih 5
KUCHING: Permohonan Jawatankuasa BERSIH untuk menganjurkan perhimpunan aman pada 19 November ini terus gagal mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Selepas permohonan menggunakan Padang Merdeka sebagai venue perhimpunan ditolak, terbaharu, Panggung Udara juga tidak diluluskan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Malah, pihak penganjur turut menyatakan hasrat untuk mendapatkan persetujuan daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berhubung permohonan tersebut.

Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai ketika ditemui semalam berkata pihaknya mempunyai alasan tersendiri ekoran penolakan permohonan yang dikemukakan.

Menurutnya, Panggung Udara kini masih menjalani proses penyelenggaraan yang membabitkan penambahbaikan infrastruktur.

“Kami sedang menjalankan proses penyelenggaraan, menggantikan lampu serta melibatkan infrastruktur setelah beberapa tahun tidak diselenggara.

“Buat masa sekarang kami berhasrat memasang bumbung di kawasan pentas, justeru kami berharap jika kerajaan dapat menyalurkan peruntukan, kami akan laksanakannya,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan DBKU di ibu pejabat DBKU, semalam.

Abang Wahap berkata masih banyak perancangan untuk proses penambahbaikan di kawasan Panggung Udara termasuk cadangan pelan pembinaan Unity Garden (Taman Perpaduan) yang diharap siap dalam tempoh terdekat.

Sehubungan itu, pihak-nya tidak mahu kerja-kerja penyelenggaraan yang sedang berjalan di kawasan itu terganggu dengan penganjuran apa-apa program yang melibatkan kehadiran pengunjung yang ramai.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa penolakan itu tiada kaitan dengan faktor politik, tetapi keputusan dibuat selepas mengambil kira perkembangan situasi semasa.

“Sebelum ini kami telah memberi maklum balas kepada pihak penganjur berhubung permohonan mereka untuk mengadakan perhimpunan aman BERSIH,” katanya.

Bagaimanapun beliau mencadangkan agar penganjur mengemukakan permoho-nan menggunakan stadium sekiranya mahu mengadakan perhimpunan berkapasiti besar.

“Mereka boleh cuba mohon untuk gunakan stadium, kami sedar perhimpunan seperti ini akan dihadiri ramai orang dan tiada jaminan untuk tidak berlaku sebarang kerosakan di kawasan tersebut (Panggung Udara),” jelasnya. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA