Permainan Seru Hantu Bawa Padah




FILEM seram sememangnya tidak pernah gagal menarik perhatian penonton ke panggung. Biarpun, pelbagai genre filem di pawagam, namun filem seram tetap mencuri perhatian.

Terbaru, sebuah lagi filem dari genre serupa, Ouija Origin Of Evil bakal memberi pengalaman seram berbeza kepada penonton.

Biarpun filem arahan Milk Flanagan ini merupakan prekuel kepada Ouija (2014), namun jalan ceritanya bukanlah kesinambungan daripada naskhah terdahulu, sebaliknya tampil dengan konflik baharu yang lebih mendebarkan.

Filem yang menggunakan latar masa 1960-an ini mengisahkan Alice Zander (Elizabeth Reaser), seorang ibu tunggal yang menyara kehidupannya dengan berpura-pura dalam aktiviti paranormal.

Dibantu dua anak perempuannya, Lina (Annalise Basso) dan Doris (Lulu Wilson), Alice menyusun rancangan memperdaya pelanggan agar percaya dia pakar berhubung dengan mereka yang meninggal dunia.

Suatu hari, Alice terjumpa papan Ouija yang berisi angka, huruf dan simbol di mana ia dipercayai sering digunakan untuk berkomunikasi dengan roh. Alice teruja mendapatkan papan tersebut untuk dijadikan gimik kepada sesi perantaranya dengan roh si mati bagi menambahkan keyakinan pelanggan yang berurusan dengannya.

Namun tanpa disangka, papan Ouija itu sebenarnya bakal membawa bencana kepada keluarganya apabila permainan itu tanpa sengaja memanggil roh jahat kembali bangkit dan menjadikan anaknya Doris sebagai perantara.

Untuk sebuah filem seram, filem ini berjaya membawa elemen tersebut dengan baik. Flanagan berjaya menggunakan kreativitinya dalam mewujudkan rasa ingin tahu penonton.

Secara keseluruhan, filem lakonan Elizabeth Reaser, Annalise Basso dan Lulu Wilson berbaloi ditonton terutama kepada peminat filem seram. - SH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA