Perlantikan Trump Bakal Beri Manfaat Kepada WWE?


Kejayaan besar Donald Trump dalam pemilihan Presiden Amerika Syarikat baru-baru ini amat mengejutkan semua pihak. Siapa sangka, billionaire hartanah yang sering mengeluarkan kenyataan kontroversi bagi meraih undi ini akan diangkat sebagai Presiden ke-45 negara kuasa besar dunia ini.

Dalam pada ramai yang mengkritik pemilihan Trump sebagai presiden, mungkin ada yang boleh menarik nafas lega dan bakal beroleh manfaat daripada perlantikan ini. Antara lain yang dilhat bakal menerima impak positif susulan kejayaan Trump adalah syarikat gusti hiburan paling besar, iaitu WWE.

Hubungan Donald Trump bersama WWE sudah terjalin sejak sekian lama. Sejak tahun 1989, Trump telah mula berkolaborasi bersama syarikat di bawah pimpinan Vince McMahon itu.

Manakan tidak, arena besar di Trump Plaza yang terletak di Bandaraya Atlantik pernah menjadi tuan rumah kepada acara tahunan terbesar WWE, iaitu Wrestlemania untuk dua tahun berturut-turut.

Siapa yang boleh lupakan perlawanan utama di Wrestlemania IV menyaksikan Hulk Hogan menentang Andre The Giant dan Hulk Hogan sekali lagi menjadi tarikan utama di Wrestlemania V dengan menentang bekas rakan sekutunya, Macho Man Randy Savage, bagi perebutan Kejuaraan Dunia WWE.

Hubungan baik di antara Trump dan Vince McMahon terus akrab dan kemuncaknya adalah ketika tahun 2007 apabila Trump terlibat secara langsung dalam konflik penceritaan WWE dan “bermusuhan” dengan Vince McMahon.

Dinamakan sebagai “Battle Of The Billionaire”, Vince telah mencabar Donald Trump untuk bertarung dengannya di acara Wrestlemania 23, bagi membuktikan siapakah antara mereka yang lebih hebat.

Menyedari yang dirinya bukan seorang ahli gusti dan tidak mampu untuk bersaing secara fizikal dalam gelanggang WWE, format perlawanan ditukar di mana Vince dan Trump akan memilih penggusti masing-masing bagi mewakili kedua-dua mereka.

Akhirnya, Vince memilih jaguh Samoa yang ganas, iaitu mendiang Umaga manakala Trump memilih bintang berbadan sasa, Bobby Lashley.

Yang menariknya, perlawanan ini juga meletakkan stipulasi menarik. Pihak mana yang kalah akan dibotakkan rambutnya. Maka, Vince dan Trump masing-masing bersetuju dengan syarat tersebut dan sedia menerima natijah untuk dimalukan di hadapan puluhan ribu penonton di arena apabila mereka bakal dibotakkan secara langsung.-stadiumastro

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA