Perkhidmatan Pos Masih Relevan, Perlu Lebih Universal, Berkualiti



Lundu : Komitmen Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama kerajaan Sarawak dalam misi menyejahterakan rakyat melalui perkhidmatan pos berjaya memberi impak langsung kepada penduduk luar bandar walaupun ia cukup mencabar disebabkan faktor geografi Sarawak yang luas.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata walaupun berada di tengah era komunikasi digital, perkhidmatan pos masih lagi penting, malahan bertambah relevan dengan kepesatan ekonomi digital dan e-dagang, yang memerlukan perkhidmatan pos yang bersifat universal, kompetitif dan berkualiti.

Katanya menyedari kepentingan itu, usaha-usaha pemodenan perkhidmatan pos seperti Smart Postman, Ejen Berdaftar Pos di Pusat Internet 1Malaysia (PI1M), Pejabat Pos Bergerak, Posmen Komuniti dan sebagainya telah dilaksanakan di Sarawak sejak 2010.

Beliau berkata menerusi inisiatif ini, lebih 500 peluang pekerjaan sambilan sebagai anggota posmen komuniti dan wakil posmen komuniti telah diwujudkan bagi penduduk Sarawak.

"Mereka ini adalah ejen transformasi luar bandar dan hero-hero yang tidak didendang. Syabas saya ucapkan, teruskan perjuangan anda semua dengan dedikasi dan keikhlasan demi rakyat Sarawak," katanya pada majlis pelancaran Transformasi Perkhidmatan Pos Luar Bandar peringkat negeri di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pelaburan dan Promosi) Sarawak Datuk Julaihi Narawi.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Dr Halim Shafie, dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Bhd Datuk Shukrie Mohd Salleh.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA