Perhimpunan Bersih 5.0 Dan Baju Merah Adalah Haram - KPN



KUALA LUMPUR: Polis mengklasifikasikan perhimpunan Bersih 5.0 dan Gerakan Baju Merah yang dirancang di ibu kota Sabtu ini sebagai demonstrasi haram.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata ini kerana kedua-dua perhimpunan itu gagal mematuhi peruntukan undang-undang khususnya Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Beliau berkata pihaknya akan mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada memandangkan perhimpunan yang bakal diadakan itu tidak mendapat kelulusan pemilik tempatnya.

"(Penganjur) kenapa degil sangat, tuan tempat tidak benarkan mereka (peserta) gunakan tempat itu, sepatutnya mereka perlu cari tempat lain.

"Hak bersuara, kita (polis) hormati tetapi mereka perlu juga hormati hak peniaga dan pelancong yang ingin berkunjung di Kuala Lumpur, kerana mereka juga ada hak," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Palestin Tidak Dilupakan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Bukit Aman hari ini.

Sehubungan itu Khalid menasihatkan orang ramai agar tidak menyertai mana-mana perhimpunan berkenaan yang jelas tidak mematuhi peruntukan undang-undang.

"Kita tidak mahu Malaysia jadi seperti Palestin. Keamanan sedia ada sepatutnya dikekalkan, bukannya buat kecoh di merata tempat," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata persiapan rapi telah dilakukan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini jika perhimpunan diteruskan.

"Orang ramai perlu sedar kita ada undang-undang. Kalau ianya tidak mahu dipatuhi, untuk apa undang-undang itu ada.

"Polis akan pastikan negara aman, sejahtera dan tenteram. Jika ada jalan yang akan ditutup kita akan maklumkan," katanya.

Terdahulu Khalid menyampaikan sumbangan daripada warga PDRM sebanyak RM50,000 kepada Ahli Lembaga Pengarah Aman Palestin Berhad, Hashimah Salleh. -- Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA