Perdagangan Malaysia-China Cecah RM170.6 Bilion Antara Jan-Sept



KUALA LUMPUR - Dagangan dua hala antara Malaysia-China mencecah RM170.6 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, meningkat 1.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Timbalan Menteri Kewangan Kedua Datuk Lee Chee Leong berkata daripada jumlah itu, produk siap menyumbang RM154.7 bilion, diikuti produk pertanian (RM9.2 bilion) dan mineral (RM6 bilion).

"Dalam tempoh yang sama, import Malaysia dari China meningkat 9.1 peratus tahun ke tahun kepada RM102.7 bilion," katanya.

Eksport bagaimanapun susut 8.5 peratus kepada RM67.9 bilion.

Lee berkata eksport yang lemah dalam barangan elektrik dan elektronik, serta permintaan yang lebih rendah ke atas komoditi seperti minyak sawit, gas asli cecair dan getah asli, berpunca daripada kelembapan dalam pertumbuhan ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Beliau berkata demikian pada perasmian Seminar Perdagangan Ekonomi dan pelaburan Malaysia-China (Dezhou), di sini hari ini. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA