Peraturan, Pengagihan, Retikulasi Gas Untuk Pengguna Sarawak Akan Diperkenal


KUCHING: Kerajaan negeri akan memperkenalkan peraturan pengagihan dan retikulasi gas (LPG) untuk kegunaan pengguna di Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata bagi tujuan itu usul mengenai pengenalan undang-undang yang lebih sesuai bagi pengagihan dan retikulasi gas kepada pengguna di negeri ini akan dibentangkan sama ada pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini (21-30 November 2016) atau persidangan akan datang.

“Ketika ini pengagihan dan retikulasi atau penyeliratan gas di Sarawak bagi kegunaan pengguna tidak dikawal selia dengan betul.

“Ini adalah di bawah bindang kuasa Sarawak dan kita (kerajaan negeri) berhasrat memperkenalkan peraturan-peraturan yang betul sama ada dalam persidangan DUN kali ini atau persidangan selepas ini,” katanya pada sidang media semalam.

Terdahulu beliau menyaksikan majlis menandatangani kontrak bagi projek Pembangunan Lapangan E6 untuk Sarawak Shell Berhad antara Brooke Dockyard and Engineering Works Corporation (Brooke Dockyard) dengan Sarawak Shell Berhad di sebuah hotel di sini.

Adenan menambah, ketika ini pengagihan dan retikulasi gas hanya terhad di Miri.

“Kita mahu memperluaskan pengagihan dan retikulasi gas ke kawasan yang lebih luas daripada Miri, malah termasuk sepanjang laluan ke Bintulu,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa peraturan itu nanti akan meliputi sebarang paip gas atau pengagihan gas yang memerlukan lesen dikeluarkan oleh kerajaan negeri.

Sementara itu dalam ucapannya Adenan berkata majlis menandatangani kontrak itu menandakan satu lagi pencapaian bersejarah penyedia perkhidmatan minyak dan gas milik Sarawak, Brooke Dockyard.

Ia juga katanya, menunjukkan Brooke Dockyard dapat bersaing dengan pemain industri lain dalam penyediakan perkhidmatan minyak dan gas yang diiktiraf di peringkat global.

“Saya sangat gembira dan berbangga apabila melihat Brooke Dockyard berkembang maju bermula sebagai menyedia perkhidmatan kapal dan jentera menjadi fabrikator modul luar pesisir utama dalam industri petroleum, marin dan pengeluaran,” katanya.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Pengerusi Brooke Dockyard Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Openg, Pengerusi Shell Malaysia Datuk Iain Lo dan Naib Presiden Pengurusan Petroleum Malaysia, Petronas Zamri Jusoh. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA