Peranan Swasta Bangun Negeri Sentiasa Diiktiraf



KUCHING: Kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf peranan penting sektor swasta dalam membangunkan negeri ini termasuk pembangunan infrastruktur menggunakan teknologi digital.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata, dengan perubahan era masa kini teknologi digital memberi kesan mendalam kepada kehidupan masyarakat.

“Penyesuaian dan perkembangan teknologi digital merubah cara kita berkomunikasi, merevolusikan perniagaan dan mencetuskan peluang baharu dalam ekonomi digital.

“Bagi Sarawak, usaha sektor swasta iaitu Techninier Sdn Bhd melalui projeknya Sistem Pengurusan Aset Bersepadu (IAMS) bakal menjadi penyelesaian kepada cabaran kerajaan negeri dalam pengurusan aset jalan raya.

“Maka itu saya berasakan, usaha sama kukuh antara kerajaan negeri dan sektor swasta akan terus memacu pertumbuhan negeri serta memberi manfaat kepada rakyat keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan ‘Showcase Event’ IAMS Untuk Sarawak: Mempamerkan Pengetahuan Pendigitalan dan Pemetaan ke Arah Pengurusan oleh Techninier Sdn Bhd yang dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Lion Peh, Pengarah JKR Sarawak Zuraimi Sabki dan Penasihat Kandungan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Norman H’ng di sini, semalam.

Masing berkata di Sarawak masih terdapat cabaran besar dalam mengumpul maklumat yang tepat mengenai keadaan jalan raya dan aset-aset di sekitarnya seperti papan tanda, lampu jalan dan halangan.

“Kaedah pengukuran konvensional akan memakan masa dan melibatkan kos. Malahan kekurangan maklumat juga memberi kesukaran kepada pengurusan serta perancangan pihak berkuasa untuk lebih cekap,” katanya.

Sehubungan itu beliau mengalu-alukan usaha sektor swasta termasuk Techninier Sdn Bhd yang membangunkan projek perintis IAMS mereka kepada Sarawak melalui kerjasama dengan JKR Sarawak.

Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan berkata, di Sarawak adalah menjadi perkara biasa melihat banyak sistem ad-hoc atau aplikasi dibangunkan sebagai penyelesaian berdiri sendiri.

“Selama bertahun kerana isu keserasian dan kekurangan integrasi antara sistem berbeza, kita akhirnya mempunyai data dan maklumat yang disimpan begitu sahaja.

“Kini sewajarnya untuk kita mula memikirkan sistem yang lebih holistik dan dapat menampung data secara menyeluruh terhadap semua jenis dan format dalam satu sistem bersepadu,” katanya.

Beliau memberitahu, infrastruktur jalan adalah salah satu aset paling bernilai kepada Sarawak dan asas kepada pembangunan sosioekonominya.

Tambah beliau, infrastruktur jalan tempatan Sarawak merangkumi kira-kira 30,000 kilometer.

Jelasnya, infrastruktur jalan raya amat penting kepada negeri ini untuk mencapai negeri berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030 di bawah Pelan Transformasi Sosioekonomi iaitu sasaran 6.5 peratus pertumbuhan tahunan.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA