Peragut Telefon Bimbit Kanak-Kanak Maut Kemalangan Jalan Raya


JOHOR BAHRU: Seorang peragut maut apabila Yamaha 125ZR diboncengnya melanggar sebuah kereta ketika cuba melarikan diri selepas melakukan jenayah itu berhampiran persimpangan Eco World, Taman Kota Masai, Pasir Gudang dekat sini, jam 5.15 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Jokhiri Abd Aziz berkata, suspek yang juga lelaki berusia 20 tahun itu mati di lokasi akibat parah di kepala manakala penunggang motosikal terbabit, remaja lelaki 19 tahun patah kaki kiri dan kini dirawat di Hospital Sultan IsmaiI (HSI) Pandan.

Katanya, terdahulu, suspek meragut telefon bimbit daripada seorang kanak-kanak berusia 11 tahun di Jalan Bacang 12, Taman Kota Masai selepas berpura-pura bertanyakan arah jalan kepada mangsa.

Menurut beliau, kejadian itu bagaimanapun disaksikan orang ramai yang kemudian mengejar kedua-dua suspek.

“Kedua-dua suspek menghampiri kanak-kanak terbabit dan rakannya. Pembonceng bertanya arah jalan sebelum dia merampas telefon bimbit mangsa.

“Ketika melarikan diri, suspek melanggar kereta yang keluar dari Eco World,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, penunggang yang kini ditahan mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah.

“Mayat suspek dibawa ke HSI untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 382 Kanun Keseksaan serta Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.-myMetro

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA