Penurunan Ringgit Tidak Seburuk Yang Didakwa - Najib



PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata prestasi ringgit yang dikatakan sedikit menurun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak kebelakangan ini bukanlah seburuk yang didakwa sesetengah pihak.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau hari ini mengadakan perbincangan dengan Gabenor Bank Negara, Datuk Muhammad Ibrahim mengenai prestasi ringgit.

Katanya, berdasarkan carta prestasi mata wang antarabangsa termasuk ringgit, didapati terdapat mata wang yang lebih lemah ekoran kesan luar kawalan.

"Ada mata wang lain yang prestasinya lebih buruk daripada ringgit. Ada juga (mata wang) yang lebih baik. Kita duduk di tengah-tengah.

"Dan ini kalau kita tengok dari segi pelbagai mata wang, kita tidak menurun sangat, cuma dengan dolar Amerika. Jadi ini adalah kerana kesan luaran yang di luar kawalan kita," kata beliau pada program Soal Jawab Khas menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2016, di sini, hari ini.

Program sejam itu diperantarakan oleh Hamdan Ahmir dan disertai Pengarang Utusan Malaysia Datuk Zulkefli Hamzah dan pengacara RTM Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.

Najib yang juga Presiden UMNO turut mengingatkan agar rakyat tidak terkeliru dengan kesan penurunan mata wang tersebut memandangkan ia adalah faktor yang berada di luar kawalan.

Beliau turut menjelaskan kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat dan dasar-dasar tertentu, umpamanya membawa kepada implikasi bukan sahaja kepada dunia tetapi juga Malaysia. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA