Penuntut Malaysia Ditemui Mati Di Bilik Sewa


JAKARTA: Seorang penuntut Malaysia di Universiti Islam Negeri Sunan Ampel di Surabaya, dijumpai mati di dalam bilik di rumah sewanya berhampiran kampus universiti itu semalam.

Abdul Mu’izz Rusli, 19, penuntut tahun pertama Jurusan Bimbingan dan Kaunseling Islam, didapati tidak sedarkan diri semasa dikejutkan rakannya supaya bangun menunaikan solat Subuh.

Atase Pendidikan Malaysia di Indonesia Mohamad Hidayat Mohamad Saufi berkata, rakannya juga mendapati mulut Abdul Mu’izz, yang berasal dari Kota Samarahan, Sarawak, berbuih selain adanya kesan luka kecil pada bahagian kepalanya.

“Selepas dibawa ke hospital berhampiran, doktor mengesahkan Abdul Mu’izz meninggal dunia kira-kira jam 2 pagi tadi (semalam),” katanya ketika dihubungi semalam.

Polis menyifatkan kematian penuntut itu sebagai kematian biasa dan tiada unsur jenayah.

Mohamad Hidayat berkata keluarga Abdul Mu’izz telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Mereka yang dalam perjalanan ke Surabaya juga meminta supaya jenazah Allahyarham dikebumikan di Surabaya,” katanya. — Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA