Penunggang Motosikal Di Miri Maut Rempuh Bas


MIRI: Seorang penunggang motosikal maut setelah terbabit kemalangan di Jalan Kuala di sini malam kelmarin.

Mangsa yang dikenali sebagai Lunsin Lanyau, 47, dari Desa Senadin Fasa 2 di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Khoo Leng Huat ketika dihubungi mengesahkan kejadian kemalangan maut tersebut.

Katanya, sebelum kejadian berlaku sekitar jam 7.50 malam, mangsa menunggang motosikal jenis Kriss Modenas sedang dalam perjalanan dari arah Jalan Perlis menuju ke Lorong Perlis 2-1 A-2.

“Setiba di lokasi, mangsa merempuh bahagian belakang bas pekerja kilang rosak diletak di tepi jalan tanpa sebarang tanda amaran.

“Mangsa meninggal di tempat kejadian dan mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut,” katanya sambil memberitahu pemandu bas berusia 45 tahun tidak mengalami kecederaan.

Berikutan itu kata Khoo, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA