Penjara 2 Tahun Ceroboh Substesen SESCo


SIBU: Mahkamah Majistret di sini semalam menjatuh hukuman dua tahun penjara terhadap seorang lelaki atas tuduhah menceroboh substesen milik SESCo dengan niat hendak mencuri.

Johnson John Lujom, 41, dari Nanga Ngungun, Kanowit didakwa menceroboh substesen SESCo Sungai Merah, Jalan Teku Lama bersama dua lagi yang masih bebas pada 7 November 2016, jam lebih kurang 9.15 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 32 kanun yang sama. Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Berdasarkan fakta kes, seorang polis bantuan melihat dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) substesen Sungai Merah mendapati dua lelaki berada di dalam kawasan substesen berkenaan.

Melihat keadaan itu, pengadu bersama rakan sekerjanya telah pergi ke lokasi dan melihat dua lelaki sedang melarikan diri ke dalam belukar.

Bagaimanapun mereka berjaya menangkap salah seorang daripada lelaki tersebut bersama dengan peralatan yang disyaki digunakan untuk pecah masuk.

Polis dihubungi kemudian telah menangkap semula suspek dikenali sebagai tertuduh.

Semasa lawatan kali kedua ke tempat kejadian, pihak berkuasa telah menjumpai besi tahan karat dan besi yang telah dimasukkan ke dalam karung guni di kawasan belukar berhampiran.

Pihak SESCo telah mengesahkan bahawa barangan tersebut adalah komponen yang telah dibuka dari mesin ‘switchgear equipment’ terpakai di dalam kawasan substesen SESCo berkenaan.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA