Pengusaha Restoran Cuba Tidak Naik Harga


PETALING JAYA: Memasuki bulan November, rakyat Malaysia perlu menyusun semula perbelanjaan berikutan pengurangan subsidi minyak masak dan peningkatan sebanyak 15 sen harga bahan api.

Bagi minyak masak dalam botol lima kilogram, ia menyaksikan peningkatan harga sehingga 60 peratus.

Walau bagaimanapun, Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia (Presma) merasakan sepatutnya tidak ada peningkatan dalam harga makanan di restoran kerana minyak masak bersubsidi bukan untuk perniagaan.

Presidennya, Noorul Hassan Saul Hameed berkata, hanya isi rumah dan pengguna biasa akan terjejas oleh penghapusan subsidi.

"Kebanyakan restoran tidak akan berani menaikkan harga kerana ia akan memberi kesan kepada kehadiran pelanggan mereka," katanya.


Tetapi beberapa pengusaha restoran mengakui mereka bergantung kepada minyak masak bersubsidi dan berkata mereka akan terjejas teruk.

Seorang pemilik restoran francais di Pulau Pinang berkata ia merupakan satu tamparan hebat kepadanya.

"Chef dan saya terfikir bagaimana untuk meletakkan harga makanan," kata pemilik restoran yang hanya mahu dikenali sebagai Ibrahim, 65.

"Jika kita menaikkan harga, pelanggan tidak akan datang. Tetapi jika kita tidak (naikkan harga), keuntungan kami akan menurun lagi," katanya.

Tambahnya, harga makanan di restorannya tidak pernah berubah sejak dua tahun lalu.

"Kami mahu melihat apa lagi yang akan menyebabkan peningkatkan kos sebelum memutuskan sama ada perlu mengenakan harga yang lebih," katanya.

Pemilik Deli and Drinks Junction @ 11, Aznita Aidid di Shah Alam menyifatkan peningkatan itu sebagai "gila".

"Ia sangat tidak baik kepada perniagaan. Saya tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menaikkan harga," katanya.

Aznita yang memulakan perniagaan pada awal tahun ini berkata keuntungannya mula merosot sejak beberapa bulan apabila ekonomi bertambah buruk.

Pemilik dan Pengarah Urusan Restoran Kayu, Burhan Mohamed berkata beliau akan mengekalkan harga makanan seperti sebelum ini.

"Kenaikan untuk satu liter minyak masak adalah kira-kira 40 sen. Kami tidak menggunakan banyak minyak untuk membuat satu roti canai," katanya.

Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura, Ho Su Meng berkata ahli-ahlinya akan cuba untuk mengelak daripada membebankan pelanggan.-mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA