Penempatan Bekas Penghuni Rumah Anak Yatim Tahun Depan

Foto BERNAMA


KUALA LUMPUR: Penempatan transit untuk bekas penghuni rumah anak yatim Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan dilaksanakan mulai tahun depan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata pelaksanaan itu bertujuan menyediakan latihan kepada penghuni rumah anak yatim sebelum mereka melangkah ke dunia pekerjaan.

"Sebelum melepaskan mereka keluar berdikari dan mencari pekerjaan sendiri, kita mahu mereka didedahkan dengan aktiviti pekerjaan supaya lebih berkeyakinan ketika berdepan masyarakat luar.

"Semua remaja berumur 18 tahun ke atas harus keluar daripada rumah anak yatim dan kita tidak mahu mereka terjebak dengan aktiviti tidak sihat berikutan hidup sebatang kara, malah belum pernah terdedah dengan dunia luar sebelum ini," katanya selepas majlis perasmian Persidangan 'Deinstitutionalisation of Children: A Paradigm Shift' ke-4 di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom yang juga Penasihat Yayasan Orphancare dan Pengerusi Yayasan Orphancare, Tan Sri Faizah Mohd Tahir.

Rohani berkata, projek rintis berkenaan akan dilaksanakan di tiga kawasan iaitu di Kuala Lumpur, Arau, Perlis dan Melaka.

"Ketiga- tiga penempatan itu akan memfokuskan kepada aktiviti dalam bidang perniagaan, kemahiran dan latihan dijalankan dalam tempoh enam bulan sehingga setahun," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 296 bayi yang ditinggalkan ibu bapa bagi tempoh Januari sehingga Oktober lalu sudah ditempatkan bersama keluarga angkat masing-masing, sama ada yang mempunyai pertalian darah atau sebaliknya.- BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA