Penduduk Serian Perlu Sabar, Tidak Harap Pembangunan Segera


KUCHING: Penduduk Serian perlu bersabar dan tidak mengharapkan projek pembangunan yang dapat mentransformasikan bahagian baharu itu dalam sekelip mata.

Perkara itu ditegaskan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem menegaskan bahawa terdapat prosedur yang perlu diikuti bagi memastikan projek pembangunan yang menelan jutaan ringgit di sesebuah kawasan berjalan lancar dan terancang.

“Saya tahu ada yang mengatakan tiada apa yang berbeza di Serian ketika masih sebuah daerah mahupun selepas menjadi bahagian.

“Biarlah saya memperjelaskannya perbezaan itu akan datang dalam tempoh empat ke lima tahun dari sekarang. Sebab itu kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem amat komited dalam mengenal pasti tiga komponen utama yang diperlukan di Serian ini selari dengan status bahagian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Makan Malam anjuran Persatuan Tai Qi Qong Serian di Dewan Masyarakat Serian dekat sini malam kelmarin.

Mengulas lanjut tiga komponen utama itu, Riot menjelaskan ia merangkumi projek pembinaan kompleks pentadbiran, bandar baharu dan pusat konvensyen di bahagian baharu tersebut.

Beliau menambah, pusat konvensyen tersebut akan menjadikan Serian bahadian pertama yang mempunyai bangunan seperti itu.

Justeru, beliau berharap penduduk Serian tidak berfikiran negatif terhadap usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan kerana setiap pembangunan yang dibawa pastinya memakan tempoh masa tertentu.

Dalam perkembangan lain, Riot menggesa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menarik golongan belia untuk menyertai aktiviti atau program kesihatan yang dianjurkan dalam sesebuah pertubuhan.

Katanya kebanyakan aktiviti kesihatan yang dianjurkan NGO hanya mampu menarik golongan pertengahan usia dan warga emas tetapi tidak menarik minat golongan belia.

Dedahnya, perkara itu penting kerana peningkatan jumlah individu yang mengalami obesiti di negara ini.

“Masalah ini memberi kesan kepada produktiviti dan ekonomi negara,” ujarnya.

Majlis itu semalam dihadiri lebih 800 tetamu yang terdiri daripada kalangan ahli Tai Qi Qong dan wakil NGO dari Tapah, Siburan, Batu 7, Kuching, Sri Aman dan Sarikei.

Hadir sama Residen Serian Dahim Nadot, Pegawai Daerah Serian Lim Hock Meng dan tetamu kehormat lain. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA