Penduduk Dakwa Syarikat Diberi Lesen Pembalakan


SIBU : Penduduk Pang Juna di Ulu Ngemah di sini mendakwa sebuah syarikat telah diberikan lesen pembalakan di beberapa kawasan termasuk di kawasan mereka sedangkan kerajaan Sarawak telah menghentikan pengeluaran lesen pembalakan dan pembukaan ladang sawit komersial yang baharu.

Pengerusi Persatuan Penduduk Asal Pang Juna, Entili Garaji, 54, mendakwa syarikat itu telah diberikan lesen bernombor OT/3666 bagi kawasan Ulu Ngemah, Daerah Tanah Spali, Kanowit dan sah dari 2 Nov lepas sehingga 1 Nov 2017.

"Persatuan kami yang mempunyai keahlian 108 keluarga rasa hairan bagaimana syarikat ini boleh mendapatkan lesen membalak itu sedangkan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem telah menghentikan pengeluaran lesen pembalakan di negeri ini," katanya.

Bercakap kepada pemberita di sini, hari ini, katanya dalam perjumpaan pihaknya dengan pihak syarikat itu di Kuching baru-baru ini, difahamkan syarikat itu bercadang membuka kawasan seluas lebih 4,000 hektar di Spali Lakan, Junan di Ngemah hingga ke kawasan Lanjak Entimau, untuk tujuan perladangan sawit atau getah.

Entili berkata beliau telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kanowit semalam bagi membolehkan pihak berkuasa membuat siasatan berhubung perkara itu.

Beliau berkata pihaknya bercadang untuk berjumpa dengan ketua menteri supaya kerajaan negeri mengambil tindakan perlu dalam melindungi hak pemilik tanah di kawasan terbabit dengan syarikat itu dijangka memulakan operasi pada 4 Jan tahun depan.

Penghulu Ambrose Pengiran Sampai, 65, pula berkata penduduk yang merupakan pemilik tanah adat tidak tahu menahu mengenai cadangan pembalakan dan pembukaan ladang itu.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA