Pendidikan Di Pantai Damai Sentiasa Ditambah Baik


KUCHING: Biro Pendidikan dan Badan Muafakat Pendidikan Pantai Damai akan sentiasa menambah baik sistem pembelajaran di sekolah sekitar kawasan tersebut termasuk belajar daripada sekolah cemerlang lain di luar Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, sebelum ini lawatan ke beberapa buah sekolah di Terengganu diadakan untuk mempelajari dan mencontohi sistem pempelajaran mereka.

"Semoga usaha ini dapat merealisasikan hasrat kita pada masa akan datang termasuk pembaharuan dalam sistem pendidikan bagi mencapai kejayaan lebih cemerlang," katanya pada Majlis Khatamal Al-Quran di SK Bandar Samariang hari ini.

Majlis tersebut melibatkan 90 pelajar tahun enam sekolah berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) menyeru ibu bapa untuk sentiasa mengamalkan sikap terbuka kepada pihak sekolah.

"Sekolah di kawasan kita perlu dianggap sebagai harta benda kita. Ibu bapa juga harus membantu pihak sekolah dan menganggap sekolah sebagai kilang melahirkan anak-anak bijak pandai," ujarnya.

Selain itu menurutnya, golongan pelajar bermula dari peringkat sekolah rendah perlu didedahkan dengan pelbagai bidang ilmu termasuk Al-Quran.

"Jika ada peluang ataupun keinginan sekiranya pembacaan anak-anak kita baik, boleh sertai perujian Al-Quran atau mendalami ilmu Al-Quran dengan memahami isi kandungan.

"Dalam Al-Quran terdapat panduan dalam kehidupan seharian kita, maka rujukan Al-Quran adalah tepat bagi kita sebagai umat Islam," jelasnya.-Sarawakiana


No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA