Pencuri Dilanggar, Gagal Larikan Alat Kimpalan


KUCHING: Seorang lelaki berputih mata apabila dia bukan sahaja tidak sempat melarikan alat kimpalan yang dicurinya tetapi turut dilanggar ketika cuba melarikan diri di Jalan Sungai Apong di sini, semalam.

Menurut sumber, insiden berlaku sekitar tengah hari apabila suspek dilihat memecah masuk sebuah kereta milik seorang kontraktor yang sedang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian sebuah rumah berdekatan tempat kejadian.

Difahamkan, suspek kemudian dilihat mengangkat satu set alat kimpalan dari dalam kereta berkenaan dan melarikan diri apabila menyedari kegiatannya itu terbongkar.

“Kontraktor terbabit kemudian terus mengejar suspek yang cuba melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal.

“Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi suspek apabila dia dilanggar sebuah kereta ketika cuba meloloskan diri di persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Apong,” kata sumber.

Suspek yang dipercayai tidak mengalami sebarang kecederaan itu kemudian melarikan diri dengan memasuki kawasan semak berdekatan meninggalkan motosikalnya.

Laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat oleh mangsa dan siasatan lanjut masih dijalankan.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA