Penculikan Sipadan: Nur Misuari Salahkan Malaysia


PETALING JAYA: Pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari telah menyalahkan Malaysia dalam penculikan di Sipadan pada tahun 2000.

Menurut laporan portal berita Rappler, Misuari, 77, mendakwa Malaysia berada di sebalik aktiviti penculikan untuk mendapatkan wang tebusan di Sulu, mengkhususkan 2000 penculikan Sipadan yang mengaitkan Filipina dengan kumpulan Abu Sayyaf.

"Malaysia terlibat dalam penculikan untuk tebusan ini. Mungkin satu hari nanti saya akan mengheret pemimpin mereka ke ICC. Saya mempunyai semua bukti di tangan saya," Misuari dipetik sebagai berkata dalam satu ucapan di seuah dewan di MalacaƱang, petang Khamis.

Beliau juga mendakwa Malaysia mengupah 'orang sendiri' dan 'menawarkan mereka berjuta-juta ringgit'.

Misuari dipetik sebagai berkata dalam acara anjuran Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, yang membiarkannya menggunakan podium presiden ketika menyampaikan 'ceramah pendek' beliau.

Misuari, yang mengasaskan MNLF pada tahun 1969, telah bersembunyi sejak tenteranya didakwa melancarkan serangan ke atas orang awam di bandar selatan Zamboanga pada tahun 2013.

Misuari dijangka menyertai proses damai dengan kumpulan saingan MNLF, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Malaysia adalah perunding dalam perjanjian damai Bangsamoro yang bertujuan untuk mencari penyelesaian aman terhadap konflik panjang di Mindanao.-mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA