Pencuci Tandas Kini Jutawan


KUALA LUMPUR: Dulu budak setinggan atau ‘pailang’ kini mampu mengusahakan ladang beratus hektar dan beberapa hotel di ibu kota hingga bergelar jutawan.

Pelakon dan penerbit filem Datuk Rosyam Nor boleh dikatakan berada di kemuncak dalam hidupnya apabila dulunya lebih dikenali sebagai hero filem Melayu kini meniti kejayaan sebagai ahli perniagaan hingga menjadi ikon usahawan kepada belia.

Malah, beliau yang pernah membintangi filem Castelo juga berjaya membuktikan tanpa sebarang kelulusan boleh menggapai cita-cita jika menjadikan sesuatu yang mustahil sebagai cabaran untuk memperoleh kejayaan.

Katanya, kejayaan yang dikecapi sekarang ini bukanlah datang secara tiba-tiba namun memerlukan usaha luar biasa dan komitmen tinggi dalam usaha mencapai matlamat yang diinginkan.

“Saya dibesarkan di kawasan setinggan di Kampung Kerinchi, dan juga pernah bekerja sebagai pencuci tandas sebelum berkecimpung dalam bidang lakonan kira-kira 20 tahun lalu.

“Kehidupan yang saya lalui bukannya mudah, kerana terpaksa berkorban segala-galanya demi memperoleh kejayaan dan sanggup mengambil risiko untuk terus melangkah ke hadapan,” katanya ketika ditemui selepas Sesi Bicara Usahawan bertemakan ‘Laypark Sempoi Bersama Ikon Usahawan’ di Universiti Kuala Lumpur Business School, di sini, semalam.

Menurutnya, belia pada masa kini perlu mengambil peluang sedia ada dengan menceburi bidang keusahawan dan tidak mengharapkan makan gaji semata-mata untuk memperoleh sumber pendapatan.

“Pelbagai kemudahan sudah disediakan oleh pihak kerajaan cuma kita perlu bijak memanfaatkannya dengan memilih bidang perniagaan yang ingin diceburi.

“Setiap individu mempunyai kelebihan dan kemahiran tersendiri yang boleh digunakan sebagai asas untuk mengembangkan perniagaan masing-masing menerusi peluang sedia ada,” katanya.

Beliau yang bakal melebarkan sayapnya dalam bidang perniagaan dengan membuka sebuah pasar raya dalam masa terdekat ini juga mahu belia mengubah pendirian masing-masing iaitu dengan tidak hanya berserah kepada takdir dalam menentukan hala tuju masing-masing.

“Pelajaran sememangnya penting namun sebenarnya tidak menjamin masa depan gemilang, sebaliknya bidang keusahawanan adalah platform terbaik dalam meraih pendapatan lumayan sama seperti individu lain yang berjaya,” katanya.

Selain itu, beliau tidak menolak kerjayanya sebagai pelakon dan penerbit filem membolehkannya mengembangkan perniagaan selain memudahkan berinteraksi dengan orang ramai khususnya memperkenalkan produk jualannya.

“Setiap usahawan perlu menggunakan kelebihan yang ada untuk mengembangkan perniagaan masing-masing dan itulah kelebihan yang ada pada diri kita namun tiada pada orang lain,” katanya yang juga hero filem terbaru Special Force yang bakal ditayangkan nanti.-myMetro

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA