Pencapaian Pensijilan GMP dan HACCP Dapur Hospital Di Sarawak Tidak Mencukupi


KUCHING: Pencapaian pensijilan Good Manufacturing Practice (GMP) dan Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP) Dapur Hospital di Sarawak masih tidak mencukupi kerana hanya 23.8 peratus dapur kerajaan mendapat GMP dan tiada dapur hospital mendapat HACCP pada masa ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Doktor Jamilah Hashim. berkata, program HACCP Dapur Hospital telah diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak tahun 2006 untuk dilaksanakan di semua hospital kerajaan di Malaysia.

“Ia dicetuskan atas kepekaan dan keperihatinan KKM terhadap tahap keselamatan makanan yang dihidangkan kepada pesakit di hospital di mana pesakit merupakan kategori yang berisiko tinggi kerana terdiri dari kanak-kanak, orang tua dan kategori pesakit yang mempunyai sistem imuniti yang lemah.

“Pelan tindakan Keselamatan dan Pemakanan Kebangsaan 2010-2020 di bawah Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan (MKMPK), Kementerian Kesihatan Malaysia telah menetapkan sasaran 100 peratus hospital melaksanakan sistem HACCP di dapur hospital pada tahun 2020,” jelasnya ketika sidang media selepas majlis penyerahan sijil ‘Makanan Selamat Tanggungjawab Industri’ (MeSTI) di sini, hari ini.


Tambah beliau lagi, program Good Manufacturing Practice (GMP) merupakan satu program yang merangkumi amalan, prosedur dan persekitaran yang perlu dilaksanakan untuk menghasilkan produk yang selamat dan sebagai basis kepada Program HACCP.

"Manakala program MeSTI merupakan satu lagi program jaminan keselamatan makanan yang juga diperkenalkan oleh KKM dan ia merupakan prgram yang minimum untuk memenuhi keperluan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,"

Jabatan Dietetik dan Sajian dari lima buah hospital yang telah berjaya mendapatkan pensijilan GMP ialah Hospital Umum Sarawak, Hospital Sibu, Hospital Kapit, Hospital Sarikei dan Hospital Miri manakala empat Unit Sajian Hospital berjaya mendapat pensijilan MeSTI iaitu Hospital Kanowit, Hospital Marudi, Hospital Simunjan dan Hospital Daro. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA