Pemuda PRS Kecam Campurtangan Guan Eng


KUCHING: Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menggesa Ketua Menteri Sarawak keluar daripada Barisan Nasional (BN) mendapat kecaman pelbagai pihak.

Menurut Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Snowdan Lawan, kenyataan Guan Eng adalah satu tindakan hipokrit yang hendak lari daripada berbagai masalah yang beliau hadapi di Pulau Pinang.

"Guan Eng terdesak untuk mendapat sokongan kembali disebabkan beliau sendiri sedang bergelumang dakwaan kes rasuah, masalah banjir, terowong tidak jadi dan sebagainya di Pulau Pinang.

"Malah Guan Eng sedang didesak untuk meletak jawatan oleh rakyat Pulau Pinang sendiri," katanya ketika dihubungi Sarawakiana.

Beliau berkata, Guan Eng tidak perlu campurtangan dalam urusan negeri Sarawak lebih-lebih lagi dalam perkara memperjuangkan hak dan autonomi, kerana BN berada dalam kedudukan selesa untuk membincangkan perkara tersebut.

Malah katanya, Presiden PRS merangkap Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing ketika Persidangan DUN Disember 2015 telah membentangkan usul untuk mengkaji semula sebarang undang-undang dan kuasa pentadbiran yang memberi hak autonomi kepada negeri ini, dan usul tetsebut telah disokong sebulat suara oleh kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan apa yang telah diusahakan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem selama ini berada pada landasan yang betul dan DAP selama ini hanya ingin menumpang kredit hasil usaha Adenan.

"Ketua Menteri Sarawak lebih memahami untuk berbincang soal Sarawak bersama Kerajaan Pusat memandangkan kita berada dalam satu kapal yang sama.

"Pemuda PRS sentiasa menyokong Ketua Menteri dalam hal tersebut dan menolak gesaan Guan Eng yang hanya sekadar takut dengan bayang-bayang sendiri setelah terpalit dengan pelbagai masalah." Tegasnya.

Snowdan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin berkata, mungkin inilah percubaan DAP untuk mendapat kredit dari usaha BN, seperti perumpamaan “Lembu punya susu Sapi dapat nama”.

“DAP sendiri seharusnya berundur daripada menganggu perbincangan antara negeri dan pusat.

"Sepatutnya Guan Eng membawa DAP keluar dari Sarawak, sepertimana UMNO menghormati suara rakyat negeri ini yang tidak mahu parti itu bertapak di Sarawak," katanya. -Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA