Pemuda PBB: Rakyat Sarawak Tidak Memerlukan Lim Guan Eng Untuk Mengajar Adenan

KUCHING: Naib Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Ripin Lamat berkata, rakyat Sarawak tidak memerlukan Lim Guan Eng untuk mengajar pucuk kepimpinan Sarawak mengenai cara untuk mengurus tadbir negeri ini, apatah lagi untuk belajar cara untuk memperjuangkan hak rakyat Sarawak.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan lewat malam tadi, sebagai reaksi mengulas kenyataan Lim Guan Eng pada Ahad lalu yang meminta Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem agar menetapkan satu tempoh tertentu untuk keluar dari Barisan Nasional (BN) jika kerajaan Persekutuan enggan memenuhi tuntutan autonomi.

Menurutnya, Lim Guan Eng sebenarnya dalam keadaan terdesak untuk mengalih masalah berlaku di negeri pimpinannya.

"Setiausaha Agung DAP itu sepatutnya fokus pada menjelaskan kepada rakyat di Pulau Pinang berkenaan pendakwaan yang beliau hadapi sendiri di Mahkamah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta banglo di bawah nilai pasaran.

“Justeru tidak perlu untuk Lim Guan Eng cuba untuk 'mengajar' pucuk kepimpinan Sarawak,” katanya

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir berkata, YAB Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem awal-awal lagi sudah memperjuangkan hak Sarawak dengan menuntut hak dan autonomi daripada Kerajaan Pusat seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, dan rundingan berterusan dengan Kerajaan Pusat masih lagi berjalan.

“Malah usaha ke arah itu telah mendapat maklum balas yang positif daripada Kerajaan Pusat dengan tertubuhnya satu jawatankuasa khas. Jawatankuasa itu dibentuk oleh Peguam Negara dan Peguam Negeri bagi merangka hak-hak yang perlu dikembalikan kepada Sarawak dan dijangka mendatangkan hasil pada hujung tahun ini atau pada tahun hadapan,” ujarnya

Beliau menjelaskan, sejak menerajui Sarawak juga Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem telah membawa banyak perubahan demi kesejahteraan rakyat di Bumi Kenyalang, malah kerajaan negeri telah berjaya menterjemahkan dasar-dasar yang diumumkan dalam bentuk tindakan yang diterima baik oleh rakyat Sarawak.

“Pembangunan Pan Borneo, persetujuan UMNO tidak akan masuk ke Sarawak dan pemansuhan status kaum 'lain-lain' dalam borang kerajaan adalah bukti usahasama erat antara negeri dan persekutuan.

“YAB Ketua Menteri Sarawak secara berterusan dan konsisten juga sentiasa memperjuangkan hak-hak negeri Sarawak dan kelebihan Sarawak adalah perbincangan bersama Kerajaan Persekutuan dijalankan dalam semangat satu keluarga kerajaan Barisan Nasional (BN),” tegasnya

Tegasnya lagi, Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta seluruh rakyat Sarawak akan sentiasa berdiri teguh menyokong kepimpinan YAB Ketua Menteri Sarawak bersama-sama dengan YAB Perdana Menteri dan akan menentang habis-habisan mana mana pihak yang cuba menggaggu gugat kesejahteraan, keamanan dan kestabilan politik yang dikecapi selama ini. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA