Pemuda Melanau Jual Ulat Sagu Secara Online



Menjual produk makanan secara ‘online’ mungkin perkara biasa, berbeza dengan seorang pemuda Melanau yang menjual ulat sagu atau ‘Si’et’ menggunakan platform tersebut.

Selain menjual secara online, pemuda terbabit, Januarius Tomek, 24, turut menternak ulat tersebut di Mukah.

Menurutnya, bagi mendapatkan ulat tersebut, penternak akan menebang dan memotong batang pokok sagu atau rumbia selain dibiarkan mereput dimakan ulat.

“Ulat yang terhasil daripada pokok sagu tersebut akan dikutip apabila cukup besar dan gemuk untuk dijual,” katanya kepada Sarawakiana.

Januarius yang berketurunan Melanau berasal dari Mukah berkata, ketika ini beliau hanya menjual ulat sagu secara online dan dalam perancangan untuk berniaga di pasar basah mukah dan pasar minggu mukah.

Jelasnya, usaha menternek ulat tersebut beroperasi seawal tahun 2009 namun terhenti disebabkan faktor banjir yang agak lama pada masa itu.

“Disebabkan banjir kami telah mengalami kerugian kerana tiada pulangan modal, malah keratan batang rumbia hanyut dibawa arus dan tempat menternak turut musnah.

“Kini kami mula beroperasi semula dua tahun lepas,” ujarnya.

Katanya, dalam sehari berniaga, dia mampu menjual antara 1 hingga 10 kilogram (kg) ulat sagu.

Tambahnya, setiap kilogram ulat sagu dijual dengan harga RM50 untuk ulat sagu segar, manakala RM25 sebungkus untuk ulat sagu salai bungkus kecil dan RM50 sebungkus untuk ulat sagu bungkus besar.

"Saya menternak sendiri ulat sagu di kampung kerana pekerjaan ini menjadi mata pencarian utama kami sekeluarga,”jelasnya.

Januarius berkata media sosial seperti Facebook, Instagram, Whatsapp dan sebagainya banyak membantu perniagaannya terutama untuk pasaran di Miri, Bintulu, Kapit, Kuching dan Kuala Lumpur.

Ulat sagu atau 'Si'et' dalam dialek Melanau, merupakan hidangan eksotik yang paling popular dan bukan sahaja menjadi makanan kegemaran kaum Melanau di Sarawak, malah turut digemari kaum lain seperti masyarakat Dayak dan Orang Ulu.

Ulat sagu terutama yang gemuk berlemak dikatakan mempunyai rasa enak dan boleh dinikmati samada dimasak dengan menggoreng atau salai.

Difahamkan, penggemar tegar biasanya makan secara mentah ketika ulat itu masih hidup selepas mencecahkan tubuh ulat dengan garam halus sebelum memakannya atau dinikmati bersama butiran sagu.

Kegilaan terhadap ulat sagu menjadikannya sebagai makanan yang mempunyai nilai komersial sekaligus menjadi sumber pendapatan lumayan kepada pembekal dan penjualnya. – Sarawakiana




No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA