Pemberontak Syria Terus Bedil Aleppo


ALEPPO: Pemisah Syria memperbaharui usaha memecahkan kepungan tentera kerajaan di timur Aleppo dengan mengebom wilayah dikuasai rejim di bandar raya itu beberapa jam sebelum bermulanya gencatan senjata pendek diumumkan Russia.

Media melaporkan, sekurang-kurangnya 12 terkorban dalam serangan roket dan tembakan pemisah terhadap kawasan penempatan dikuasai rejim selepas serangan bermula dengan dua pengeboman kereta.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) meletakkan angka kematian sebanyak 15 orang, dengan berkata empat kanak-kanak antara yang terkorban, menjadikan penduduk awam yang maut sejak Jumaat adalah 69 termasuk 23 kanak-kanak.

Pemisah bertempur hampir seminggu dalam usaha terdesak memecahkan kepungan selama tiga bulan tetapi setakat ini tidak mampu melepasi pertahanan kerajaan di barat Aleppo.

Tentera pembangkang pada Khamis mengumumkan fasa baru dalam serangan mereka ke atas tentera kerajaan di pinggir bandar di barat bandar raya itu.

"Kami memulakan fasa kedua dalam pertempuran untuk memecahkan kepungan dengan tembakan artileri berat terhadap beberapa kawasan penempatan," kata seorang pejuang pemisah, Abu Hamza.

Asap hitam tebal kelihatan dari daera Dahiyet al-Assad, apabila pemisah membakar tayar untuk melindungi diri daripada pesawat tempur yang berlegar di udara.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) berkata, 'pertempuran paling sengit' bakal berlaku di kawasan penempatan Halab al-Jadida.

Pertempuran di pinggir bandar barat Aleppo boleh didengari di daerah di timur, kata wartawan AFP di situ.

Tiada bantuan tiba di timur Aleppo yang dihuni lebih 250,000 penduduk sejak awal Julai, dan ada laporan mengenai kekurangan dan kenaikan harga.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA