Pembangkang Dan Aktivis Desak Adenan Tunai Janji


Susulan keputusan kerajaan negeri Sarawak untuk tidak membentangkan usul berhubung tuntutan semula hak Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula 21 November ini telah membuatkan pembangkang dan aktivis mendesak Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem untuk menunaikan janji.

Terdahulu, menerusi ucapan Adenan di Bintulu pada 23 Oktober lepas, beliau menyatakan kerajaan negeri akan membentangkan usul berhubung tuntutan semula hak Sarawak pada Persidangan DUN November ini dimana ia akan dibentangkan oleh seorang daripada menteri (negeri).

Namun, baru-baru ini, Adenan telah mengambil keputusan untuk tidak meneruskan usul tersebut dengan alasan bergantung kepada keihklasan kerajaan persekutuan mengenai persetujuan perkara tersebut.

Justeru, keputusan Adenan telah membuatkan pembangkang dan aktivis melahirkan rasa kecewa dengan tindakan beliau sehingga memohon beliau mempertimbangkan semula untuk membentangkan usul tersebut seperti yang dijanjikan beliau kepada rakyat Sarawak sebelum ini.

Ketua Kumpulan Sarawak 4 Sarawakians (S4S), Peter John Jaban berkata usul tersebut adalah satu deklarasi hasrat oleh kerajaan negeri mencapai matlamat ini iaitu bukan sahaja sepanjang pemerintahan beliau tetapi juga selepas itu.

“Tanggungjawab utamanya adalah kepada rakyat Sarawak yang memilih beliau untuk memegang kuasa, bukannya kepada Perdana Menteri dan perkara tersebut menyebabkan ramai penduduk Sarawak kecewa, malah marah.

“Jika ini dilakukan, seandainya Sarawak berada dalam kedudukan yang tidak ‘bertolak-ansur, proses tersebut jelas dilihat oleh semua orang dan boleh diperjuangkan para pemimpin pada masa depan,” katanya pada sidang media semalam.

Sementara itu, Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian juga berkata keputusan yang dibuat oleh Adenan itu tidak hanya mengecewakan mereka malah memusnahkan harapan rakyat negeri ini untuk melihat hak-hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia (MA) dikembalikan.

“Ketua Menteri sepatutnya meneruskan rancangan asal kerajaan negeri untuk membentangkan usul ini untuk menegaskan pendirian kita mengenai pindaan 1976 disusuli dengan pengemukaan rang undang-undang di Parlimen,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Baru Bian turut mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya mengambil pendekatan yang sewajarnya bagi mengembalikan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan kepada bentuk asalnya bagi mendapatkan semula hak-hak Sarawak.

Usul itu secara spesifik menumpukan pada keperluan untuk kerajaan Persekutuan memenuhi hak-hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1963 dan Laporan Suruhanjaya Cobbold 1962. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA