Pembangkang Cemburu, Bimbang Lawatan Najib Ke China - Salleh

KUALA LUMPUR: Pembangkang cemburu dan bimbang dengan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak ke China baru-baru ini, yang berakhir dengan kejayaan hebat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Walaupun ada yang menuduh Najib 'menjual' Malaysia kepada China, beliau berkata pembangkang tidak berani mengkritik perdana menteri secara terbuka dan agresif kerana bimbang dengan tindak balas komuniti China.

Salleh berkata ada juga yang berkata lawatan Najib ke China adalah langkah yang bijak, seperti yang dilakukan bapanya Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein pada 1974.

Dalam catatan blognya di sskeruak.blogspot.my, beliau berkata: "Pembangkang bimbang lawatan China boleh mempengaruhi sesetengah pengundi pembangkang dan pengundi atas pagar.

"Oleh itu, mereka merancang supaya (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad membuat 'penampilan sebagai tetamu' di Parlimen untuk mengalih perhatian rakyat Malaysia daripada lawatan ke China itu," katanya.

Mengenai hasil positif lawatan rasmi enam hari Najib yang berakhir semalam, Salleh berkata: "Pelaburan China di Malaysia akan mewujudkan pekerjaan dan peluang buat semua rakyat Malaysia serta menawarkan masa depan lebih cerah kepada negara."

Sementara itu, Salleh berkata menteri-menteri perlu diingatkan bahawa apabila mereka dilantik menganggotai Kabinet, mereka mengangkat sumpah kerahsiaan di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata sumpah kerahsiaan berkenaan tiada tarikh luput dan tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA) walaupun selepas mereka melepaskan jawatan.

"Oleh itu, 'trio' yang melepaskan jawatan mereka baru-baru ini perlulah berhati-hati semasa mendedahkan apa yang tidak boleh mereka dedahkan mengikut undang-undang, jika mereka tidak mahu menghadapi prosiding undang-undang dan berselindung di sebalik kekebalan Parlimen," katanya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah didakwa mendedahkan rahsia kerajaan ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat baru-baru ini. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA