Pemandu Lori Tersepit 30 Minit


KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori terselamat biarpun lori muatan satu tan dipandu terbabas sebelum merempuh besi pembahagi jalan di Jalan Suasa 3, Sungai Besi, di sini.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi semalam, mangsa berusia 26 tahun menahan kesakitan hampir 30 minit akibat tersepit pada bahagian pemandu sebelum diselamatkan pasukan bomba.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata, kemalangan hanya membabitkan kenderaan mangsa sahaja.

“Pasukan kami menerima panggilan kecemasan pada jam 2.39 pagi sebelum ke lokasi.

“Anggota bomba mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan mangsa. Bomba menggunakan pemotong hidraulik untuk memotong bahagian kepala lori yang remuk kesan pelanggaran dengan besi pembahagi jalan.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat diperoleh, lori tanpa muatan itu dalam perjalanan dari Jalan Sungai Besi menghala ke pekan Sungai Besi sebelum dipercayai hilang kawalan.

“Sejurus dikeluarkan, mangsa diserahkan kepada ambulans dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut,” katanya.-myMetro

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA