Pemandu Jentera Cerucuk Besi Ditahan Bantu Siasatan

Suami Isteri Maut Kereta Dihempap Tiang Kren
SHAH ALAM – Seorang pemandu jentera cerucuk besi ditahan 7 malam semalam bagi membantu siasatan berhubung kejadian sepasang suami isteri yang maut ditimpa jentera itu pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Mohd Yusoff Mamat berkata turut ditahan penyelia tapak pembinaan dan penyelia bahagian keselamatan dan kesihatan projek berkenaan.

Ketiga-tiga lelaki yang berusia antara 30 dan 40 tahun itu ditahan reman sehari selepas hadir ke balai polis bagi memberi keterangan berhubung kemalangan terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, dekat sini petang semalam.

“Pemandu jentera berkenaan mengalami patah kaki akibat kemalangan itu dan hanya datang ke balai semalam selepas dibenarkan keluar dari hospital.

“Ketiga-tiga mereka akan dibebaskan hari ini dengan jaminan polis,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohd Yusoff berkata kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana mengakibatkan kematian akibat cuai.

Dalam kejadian pada kira-kira 12.30 tengah hari itu mangsa, Abd Rahim Abd Rahman, 51, dan isterinya Nurhayati Rosli, 46, maut apabila kereta yang dinaiki mereka dihempap jentera pencerucuk besi yang tumbang ketika melalui jalan di Bandar Bukit Raja, Klang.

Susulan itu, anak sulung mangsa, Mohd Zahidin Abd Rahim dilaporkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju jika terdapat unsur cuai dalam kemalangan berkenaan. – BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA