Pelancong China Kini Dibenar Memasuki Sarawak Dengan Pas Khas


Kuching : Kerajaan Sarawak membuat keputusan membenarkan pelancong dari China memasuki negeri ini melalui Lapangan Terbang Miri dan kemudahan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Sungai Tujuh, yang bersempadan dengan Brunei, melalui penggunaan Pas Masuk Khas, berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg berkata sejajar dengan usaha yang sedang giat dijalankan Sarawak untuk menarik kedatangan lebih banyak pelancong dari China, maka pas masuk ke negeri ini perlu dikeluarkan di semua ICQS untuk kemudahan mereka.

Beliau bagaimanapun berkata, memandangkan Kuching kini merupakan satu-satunya pintu masuk ke Sarawak yang menyediakan kemudahan Visa Semasa Ketibaan untuk pelancong dari China, maka kerajaan negeri memohon kerjasama kerajaan persekutuan supaya membenarkan semua ICQS di negeri ini mengeluarkan pas untuk memasuki Sarawak kerana langkah itu akan memberi manfaat kepada kerajaan negeri dan persekutuan.

Menurut beliau, Seksyen 5 Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) memperuntukkan kuasa kepada menteri berkenaan melalui notis dalam Warta Rasmi untuk meluluskan sesuatu laluan dan mengisytiharkan pos kawalan imigresen, lapangan terbang atau pintu masuk, yang beliau fikirkan perlu diberi kemudahan berkenaan.

"Sehubungan itu, Kementerian Pelancongan Sarawak telah menulis kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkaitan perkara ini, tetapi hingga hari ini, belum ada sebarang jawapan.

"Sarawak berpegang teguh dengan pendapatnya bahawa Pengarah Jabatan Imigresen Sarawak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan Pas Masuk mengikut Bahagian VII Akta Imigresen 1959/63, di bawah perintah Pihak Berkuasa Negeri yang merupakan satu-satunya pihak berkuasa bagi perkara berkaitan kemasukan seseorang atau untuknya tinggal atau menetap di Negeri Sarawak

"Justeru, kami menggunakan kuasa ini untuk membenarkan pelancong memasuki Sarawak melalui Miri (lapangan terbang) dan Sungai Tujuh (ICQS), berdasarkan apa yang kami panggil Pas Masuk Untuk Pelancong," kata Abang Johari, yang juga Menteri Pelancongan Sarawak pada sidang akhbar di pejabat beliau, di sini hari ini.

Beliau berkata langkah itu juga bertujuan memanfaatkan kempen yang dijalankan Brunei bagi menarik lebih banyak kedatangan pelancong dari China dan seterusnya melawat Sarawak.

Katanya, menurut Tourism Malaysia, 1.5 juta pelancong dari China membelanjakan purata RM3,335 setiap seorang dan berdasarkan jumlah itu, mereka membelanjakan kira-kira RM5 bilion antara Januari dan November tahun lepas.

Menjawab pertanyaan pemberita, Abang Johari berkata Sarawak dijangka menyaksikan ketibaan kira-kira 10 penerbangan sewa khas dari China dalam tempoh dua bulan terakhir tahun ini dan berikutan peningkatan permintaan, terdapat kemungkinan ia akan menjadi 'penerbangan sewa khas berjadual' dalam tempoh terdekat.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA