Pekerja kilang maut dihempap lebih 100kg marmar

Seorang warga Bangladesh maut manakala dua rakannya cedera dengan seorang daripadanya parah selepas dihempap kepingan marmar lebih 100 kilogram di sebuah kilang di Simpang Pulai dekat Ipoh semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, mangsa yang berumur 30 tahun dan belum diketahui identitinya meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Rozmi Che Hamat berkata ketika kejadian mangsa dan dua lagi rakannya sedang menyusun kepingan marmar ke dalam kontena sebelum ia terbalik dan menghempap mereka.

"Pihak bomba menerima panggilan kira-kira pukul 4.33 petang sebelum 11 anggota dikerahkan ke tempat kejadian dan sebaik tiba mendapati mangsa telah meninggal dunia," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Rozmi berkata dua lagi yang cedera juga merupakan warga Bangladesh dan masing-masing mengalami patah rusuk selain beberapa kecederaan lain.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pukul 6 petang. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA