Pekerja Hotel Cabul, Tunjuk Kemaluan Didenda RM6,000


KUALA LUMPUR: Seorang pekerja hotel didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang dekat sini, hari ini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan melakukan kekerasan jenayah dan menunjukkan kemaluan kepada seorang penuntut wanita universiti awam.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhi hukuman itu terhadap Shamsudin Kadar, 27, kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang berusia 18 tahun lima bulan dengan niat mencabul kehormatannya.

Tertuduh juga didakwa hendak mengaibkan kehormatan mangsa sama ada dengan cara menunjukkan kemaluannya dalam keadaan zip seluar terbuka sehingga mengganggu kesantunan mangsa.

Bagi pertuduhan pertama, Shamsudin didenda RM3,500 atau 12 bulan penjara dan bagi pertuduhan kedua dia didenda RM2,500 atau lapan bulan penjara.

Lelaki itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di bahagian tangga di tepi Jalan Cahaya berhampiran Stesen LRT Cahaya, Taman Cahaya, di sini pada 2.30 petang, 30 April lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa mengikut Seksyen 509 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang berjalan ke Stesen LRT Cahaya telah didatangi tertuduh yang secara tiba tiba memegang punggung mangsa.

Mangsa yang terkejut telah menoleh ke belakang dan melihat tertuduh yang tidak dikenalinya itu sedang menunjukkan kemaluannya kepada mangsa.

Ketika rayuan, tertuduh yang diwakili peguam S. Purnima, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan itu merupakan kesalahan pertamanya selain dia merupakan penanggung utama keluarganya.

Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira tindakan tertuduh menyebabkan trauma kepada mangsa yang masih muda selain memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan sama.-BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA