Panggung Udara Tidak Selamat, Penganjur BERSIH 5 Perlu Akur


KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menolak permohonan Jawatankuasa Bersih 5 untuk menggunakan Panggung Udara, Jalan Budaya sebagai tapak mengadakan perhimpunan aman adalah disebabkan lokasi tersebut tidak selamat kerana masih dalam proses penyelengaraan.

Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Abang Abdul Wahab Abang Julai berkata, kerja-kerja penyelengaraan taman tersebut dijangka siap sepenuhnya pada Januari tahun depan.

Malah menurutnya, taman tersebut juga merupakan tumpuan masyarakat pelbagai umur termasuk kanak-kanak, justeru adalah tidak sesuai sebarang perhimpunan ditunjukkan kepada mereka.

"Jika berlaku apa-apa kepada mereka (peserta perhimpunan) sudah pasti kita yang dipersalahkan kerana tempat ini masih dalam proses penyelenggaran. Kawasan ini buat masa sekarang adalah tidak selamat untuk tidak adakan perhimpunan.

"Tempat ini juga adalah tumpuan masyarakat untuk beriadah, kita tidak mahu tempat ini menjadi tapak untuk berhimpun," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Malah menurutnya, pada penghujung minggu ini juga terdapat pelbagai acara besar berlangsung di bandar raya ini dan sepatutnya perhimpunan tersebut tidak diadakan.

"Regata Sarawak akan diadakan pada hujung minggu ini, begitu juga dengan Kongres Persatuan Konvensyen dan Kongres Antarabangsa (ICCA) berlangsung di Kuching.

"Kita menjadi tumpuan delegasi dan pelancong asing minggu ini, kita sepatutnya bersama membantu mempromosi Kuching bukannya perhimpunan," ujarnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA