Padah Kemaruk Isteri Orang

Image result for tangkap basah

SIBU: Muka berdarah, lebam di mata kiri dan ada luka tercucuk di kaki, seorang lelaki terpaksa dihantar ke Hospital Sibu awal pagi semalam selepas dibelasah suami kepada ‘kekasih gelapnya.’

Dalam kejadian sekitar tengah malam kelmarin, lelaki tersebut dipercayai sedang berada di rumah seorang wanita yang sudah bersuami dan beranak dua.

Menurut sumber, suami wanita terbabit yang merupakan pekerja luar pantai (offshore), baharu sahaja keluar bekerja.

Difahamkan, suami wanita terbabit, 40-an, yang tidak sedap hati apabila mendengar cakap-cakap bahawa isterinya bermain kayu tiga semasa ketiadaannya, nekad pulang ke rumah mereka di Pearl Avenue, Sibu Jaya dekat sini.

Dia bersama beberapa orang rakan kemudiannya berpakat untuk menyelinap ke rumah sekitar jam 12 malam.

Mereka kemudian mendapati kereta milik lelaki terbabit diparkir di tempat letak kereta di situ.

Bagaimanapun, kehadiran suami wanita terbabit dan rakan-rakannya disedari oleh lelaki berkenaan yang kemudian cuba melarikan diri dari rumah tersebut.

Nasib tidak menyebelahinya apabila dia berjaya ditahan oleh suami wanita berkenaan.

Disebabkan hilang sabar dan kecewa, suami wanita terbabit dipercayai melepaskan perasaan marah dan geramnya terhadap lelaki itu sehingga mengalami kecederaan di mukanya.

Polis yang dimaklumkan mengenai insiden itu bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Kesemua mereka yang terbabit kemudian dibawa ke Balai Polis Sibu Jaya untuk tindakan lanjut.

Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sibu yang dimaklumkan mengenai kecederaan lelaki berkenaan pergi ke balai untuk memberi rawatan awal kepadanya yang berlumuran darah di bahagian kepala.

Lelaki berumur 28 tahun terbabit yang juga cedera di bahagian kaki semasa melarikan diri kemudian diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Dia kemudian dihantar ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.

Kejadian tersebut disahkan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintenden Martin Koo.

Difahamkan, suami wanita terbabit enggan mengambil sebarang tindakan terhadap lelaki yang tergila-gilakan isterinya, sebaliknya nekad untuk menuntut cerai daripada isterinya yang disifatkannya gagal menjadi seorang isteri yang baik. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA