Padah Buat Laporan Palsu



BUKIT MERTAJAM : Seorang tukang paip lelaki ,34, ditahan bersama puluhan cop imigresen palsu dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina di Bukit Mertajam, 1.45 pagi semalam.

Lelaki terbabit ditahan selepas membuat laporan meragukan di Balai Polis Perai dekat sini, seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azham Nik Ab Hamid berkata, lelaki berkenaan membuat laporan polis kononnya dia dibelasah sekumpulan lelaki di sebuah pusat hiburan.

Beliau berkata, lelaki berkenaan mendakwa dia dibelasah sekumpulan lelaki di premis karaoke berkenaan sebelum hasil soal siasat mendapati ia berpunca daripada masalah pasport perempuan warga asing yang diuruskannya.

"Suspek kemudian mengaku menjadi ejen menghidupkan pasport serta pas lawatan sosial wanita warga asing menggunakan cop imigresen palsu.

"Dia mengaku bahawa setiap wanita warga asing yang mana pasport mereka telah tamat tempoh lawatan, dia akan mengenakan bayaran RM200 untuk dicop keluar atau masuk menggunakan cop imigresen palsu," katanya.

Menurutnya, kebanyakkan warga asing yang berurusan dengannya adalah di kalangan pekerja-pekerja pusat hiburan atau kelab malam di sekitar Pulau Pinang.

Nik Ros Azhan berkata, sebelum itu polis menyerbu rumah sewanya di Taman Gemilang Jaya dan menemui 10 cop imigresen keluar masuk daripada beberapa lapangan terbang antarabangsa di Malaysia, Singapura, Filipina dan Indonesia.

Katanya, selain itu, polis juga merampas beberapa peralatan lain yang digunakan suspek untuk tujuan pemalsuan cop imigresen itu.

Menurutnya, polis juga menemui sejumlah paket dadah bersama lelaki berkenaan dan di rumahnya.

Beliau berkata, suspek direman bermula semalam sehingga 29 November ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas pemalsuan cop, Seksyen 39A(1)dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA