Operasi Cari Pendaki Hilang Diperluas Ke Lembah Yakhar



KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua rakyat Malaysia yang hilang ketika mendaki Gunung Damavand di Iran diperluas ke Lembah Yakhar.

Rozaimi Mohd Said, ketua ekspedisi itu, dalam satu kenyataan berkata dua pasukan yang dilengkapi peralatan teknikal dihantar ke kawasan berkenaan.

"Hari ini, sepasukan enam penyelamat telah dihantar dan kemudian satu pasukan lagi terdiri daripada lima penyelamat akan dihantar ke sana. Kawasan yang menjadi fokus ialah Lembah Yakhar," katanya.

Rozaimi berkata pasukan SAR itu akan meneruskan usaha mencari dua rakyat Malaysia berkenaan.

"Kami berhubung rapat dengan pasukan penyelamat dan pasukan kedutaan," katanya.

Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50, dan Ramli Abd Majid, 44, dilaporkan hilang di gunung itu sejak Ahad setelah terpisah daripada anggota lain daripada kumpulan mereka.

Sementara itu, menurut Mizan News, Iran, Kementerian Hal Ehwal Luar mengesahkan bahawa satu mayat dijumpai oleh pasukan SAR ketika mencari dua pendaki Malaysia yang hilang di Gunung Damarvand, Iran.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata mayat akan dibawa turun dari gunung dan kemudian dikenal pasti, sebelum sebarang pengesahan lanjut boleh dibuat.

Kementerian melalui Kedutaan Malaysia di Iran sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk membantu dalam proses mengenal pasti dan akan memberi maklumat terkini dengan sewajarnya.- Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA