OKU Maut Disambar Petir Bersama Beruk Peliharaan


GUA MUSANG - Seorang OKU, maut disambar petir, ketika sedang memproses buah kelubi di hadapan rumahnya di Tanah Putih, di sini.

Ketika kejadian kira-kira jam 6.30 petang semalam, mangsa, Mohd Samsudin Muda, 52, bersama seorang anaknya yang juga OKU, membantu membuang kulit buah berkenaan di wakaf di hadapan rumahnya.

Lebih memilukan, beruk peliharaannya, yang banyak membantu dalam kerja-kerja memanjat pokok kelapa juga turut mengiringi pemergian arwah dalam kejadian tersebut.

Menurut isterinya, Norazila Mohd Nor, ketika kejadian, hujan turun dengan lebat sejak awal petang semalam disusuli dengan kilat sabung menyabung.

"Arwah bersama seorang anak berada di wakaf di hadapan rumah untuk memproses buah kelubi untuk dijual.

"Tiba-tiba kilat menyambar ke arahnya dan arwah meninggal dunia. Dalam masa yang sama, beruk yang dipeliharanya juga turut mati disambar petir.

"Saya tidak tahu macam mana nasib kami sembilan sekeluarga selepas ini kerana kami berdua sebelum ini bekerja untuk menyara keluarga," katanya yang terdiri daripada golongan asnaf.

Tambah Norazila, jenazah dibawa ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanah Putih, pagi ini. - SH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA