Nikah Di Siam Ada Pakej Bulan Madu


KUALA LUMPUR - Pakej nikah di Thailand serendah RM1,200 yang dipromosi berleluasa melalui media sosial menggalakkan ramai pasangan ke negara itu.

Pakej minimun sehari yang ditawarkan melalui WhatsApp dan Facebook menyediakan pengangkutan, makan tengah hari, selain perkhidmatan rakaman gambar dan video.

Selain itu, pakej RM2,800 pula selama dua hari satu malam menawarkan program bulan madu di sekitar Hatyai dan beberapa lokasi terpilih, lapor Sinar Harian.

Menurut pakej murah, tanpa pengesahan dokumen dari Pejabat Konsul Malaysia di Songkhla, pasangan bertolak dari Jitra, Kedah seawal 6 pagi.

Mereka dijangka tiba di Majlis Agama Islam wilayah itu lima jam kemudian untuk urusan pernikahan. Selepas dibawa makan tengah hari, pasangan bertolak jam 2 petang untuk pulang ke Jitra.

Menurut perunding perkahwinan di sempadan dua negara itu, lima pasangan dianggarkan bernikah setiap hari pada tempoh puncak, misalnya musim cuti persekolahan.

“Pernah rekod mencatatkan jumlah tertinggi sehingga 10-15 pasangan sehari,” kata Syed Araniri Syed Ahmad seperti dilaporkan akhbar itu.

“Jumlah meningkat pada bulan tertentu, terutamanya ketika cuti umum atau sekolah, dengan anggaran anggaran antara 50-100 sebulan.”

Pakej yang ditawarkan mengikut tatacara lengkap agar perkahwinan itu sah di sisi undang-undang, tambahnya.

“Berdasarkan syarat ditetapkan, perlu dapatkan dokumen daripada pejabat konsul di mana pasangan diwajibkan hadir,” katanya.

Syed Araniri juga menegaskan jika ada pihak menawarkan pakej tanpa perlu hadir di Pejabat Konsul Malaysia atau tidak menikah di pejabat majlis agama, “itu satu penipuan.”

Selain Songkhla, pasangan boleh memilih untuk bernikah di lima lagi lokasi: Pattani, Narathiwat Yala, Patalong atau Satun. - MMO

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA