Nik Abduh Harap Perhimpunan Agung UMNO Berjaya

Nik Abduh Harap Perhimpunan Agung UMNO Berjaya
LAZIMNYA amat sukar untuk menemui pemimpin pembangkang mengambil berat mesyuarat tahunan sesebuah parti lawannya sendiri apatah lagi parti tunjang pemerintah sesebuah negara.

Fenomena ini bukan luar biasa di seluruh dunia waima di negara maju seperti Amerika Syarikat, jangan haraplah pemimpin Republikan bertanya khabar konvensyen tahunan musuh ketatnya, Demokrat dan begitulah sebaliknya.

Namun, sesuatu yang agak unik pada kali ini apabila pemimpin kanan PAS yang juga Ketua Dewan Pemuda parti Islam tersebut, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengambil pendirian agak istimewa terhadap UMNO.

Kicauan menerusi Twitter beliau terhadap Perhimpunan Agung UMNO 2016 mendapat perhatian luar biasa netizen selain pujian pelbagai pihak yang menyifatkan Ahli Majlis Syura Ulama PAS sebagai seorang yang berjiwa besar.

Tahun ini UMNO genap berusia 70 tahun dan di sebalik tiada sebarang pemilihan jawatan parti, perhimpunan parti tersebut sebenarnya turut mendapat perhatian banyak pihak termasuk pemimpin luar kerajaan sendiri.

abduh1

Melalui mesej kicauan tersebut, Nik Mohamad Abduh menulis secara ringkas: “Semoga Perhimpunan Agung UMNO berjaya mencapai matlamat. Semoga kerjasama antara kita demi Melayu dan Islam.”

Tweet Ahli Parlimen Pasir Mas itu sekali gus menggambarkan hubungan erat antara dua parti berkenaan sebagai cukup harmoni meskipun dua organisasi siasah tersebut sering ‘dibadai’ dengan pelbagai cabaran semasa.

Untuk rekod, PAS menerima ‘tamparan’ apabila sekumpulan tokohnya membentuk serpihan disokong DAP iaitu Parti Amanah Negara (PAN) manakala UMNO menyaksikan kemunculan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Hakikatnya, kicauan Nik Mohamad Abduh itu membuka lembaran baharu dalam arena politik tanah air bahawa di sebalik perbezaan fahaman ideologi, kedua-dua parti tetap bersahabat dalam cara tersendiri. – Mynewshub.cc/HAA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA