Netizen Puji Sikap Guru Rai Murid Kurang Menyerlah UPSR


“Dia dah dapat result, so kena raikan tak kira lah berapa result dia,” kata seorang guru yang mengambil gambar selfie bersama-sama dengan muridnya.

Uniknya pendidik tersebut menjadi perhatian ramai kerana dia meraikan murid yang mendapat keputusan kurang menyerlah pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), semalam.

Nuji Abdullah dikatakan memuat naik sekeping gambar bersama-sama seorang muridnya yang dikenali sebagai Farhan meskipun hanya mendapat keputusan 6E dalam ujian tersebut.

Pada gambar yang dimuat naik menerusi akaun Facebooknya, guru sebuah sekolah di Pahang itu menjelaskan muridnya perlu diraikan walaupun menerima keputusan tidak cemerlang.

“Harap-harap dia besar nanti menjadi orang yang berjaya,” katanya.

Perkongsian Nuji itu mendapat pujian daripada netizen kerana ia sebagai pembakar semangat kepada murid yang tidak memperoleh keputusan cemerlang untuk terus berusaha dalam peperiksaan lain masa depan.

Netizen menganggap tindakan guru itu sebagai murni kerana sanggup tidak meminggirkan murid yang kurang cemerlang malah turut memberi perhatian kepada kumpulan tersebut.

“Sempoi cikgu dia, tak semestinya ia pengakhir, mungkin dia ada kemahiran tapi masih muda jadi kita tidak nampak. Semoga berjaya adik,” tulis Haneul Ishika.

“Patut bagi semangat kat adik ini, kita tak tahu suatu hari nanti dia lebih berjaya daripada sekarang dan yang penting usaha lagi,” komen MohdAzmie GrindGerila.

Rata-rata netizen menganggap jika mendapat keputusan yang kurang cemerlang pada peperiksaan UPSR bukanlah sesuatu kepada pengakhiran kerana masih banyak lagi ujian yang bakal dihadapi nanti.

Keputusan UPSR 2016 yang kali pertama menggunakan format sukatan baharu menyaksikan hanya seramai 4,896 calon memperoleh keputusan cemerlang dengan semua Gred A.

Jumlah pencapaian itu adalah 1.11 peratus daripada 452,721 calon yang menduduki peperiksaan tersebut pada September lalu. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA