Negara Tidak Boleh Bergantung Kepada Pakatan Politik Hipokrit, Tidak Ikhlas

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata masa depan negara tidak boleh bergantung kepada pakatan politik yang hipokrit, tiada keikhlasan dan mengamalkan konsep pusingan U.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata rakyat perlu memilih parti politik yang bekerjasama erat dengan semua parti gabungan untuk masa depan rakyat dan negara yang lebih terjamin.

Memberikan contoh Barisan Nasional (BN), Najib yang juga Pengerusi BN berkata parti itu sentiasa membuat keputusan berdasarkan konsensus bersama anggota parti komponen dan mengamalkan prinsip kesederhanaan, tanpa melakukan sesuatu perkara yang ekstrem.

"Tuan-tuan ingat pembangkang ini genuine partnership (perkongsian tulen) ke? Adakah anda fikir Kit Siang (Penasihat DAP Lim Kit Siang) betul-betul sukakan Mahathir (bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad)? Adakah anda fikir Mahathir benar-benar sukakan Kit Siang?

"Mahathir pernah kata secara terbuka, Kit Siang adalah rasis, anti-Melayu dan anti-Islam, dan Kit Siang pun kata Mahathir diktator dan banyak lagi dia kata. Pada saya ini bukan politik seimbang.

"Mana boleh kita percaya kepada pakatan politik berdasarkan hipokrasi," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-63 di Wisma MCA di sini hari ini.

Perdana Menteri juga berkata politik pusingan U yang diamalkan pakatan pembangkang bukan sahaja mengelirukan rakyat, tetapi turut mengelirukan mereka sendiri.

"Berapa kali politik pusingan U ini saya pun tak tahu. Saya fikir mereka sudah hilang arah sebab sudah banyak kali (buat) pusingan U. Bukan sahaja rakyat keliru. Mereka sendiri (pun) sudah keliru. Tiada arah tujuan," kata Najib.

Najib turut berkata sebagai Perdana Menteri beliau sentiasa mengingatkan dirinya untuk menjadi perdana menteri kepada seluruh rakyat Malaysia. Bagaimanapun, katanya, beliau memerlukan sokongan daripada rakyat berbilang kaum termasuk masyarakat Cina.

Sehubungan itu, Perdana menteri turut melahirkan penghargaan kepada komuniti Cina yang memberikan sokongan kepada calon BN antaranya pada Pilihan Raya Negeri Sarawak serta Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Sementara itu, Najib berkata kerajaan akan bekerjasama dengan MCA untuk menambah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina.

"Sekolah-sekolah Cina, jangan bimbang, saya akan bekerjasama dengan MCA untuk tambah SJK. Jika anda tidak percaya dengan saya, tanya Tan Sri Lim Ah Lek.

Semasa saya menjadi Menteri Pelajaran, saya bekerjasama dengan beliau. Ketika itu, beliau adalah timbalan Presiden MCA. Kita menyelesaikan banyak penempatan semula sekolah Cina yang baharu," katanya.

Dalam pada itu, Najib melahirkan ucapan tahniah kepada Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan seluruh kepimpinan MCA kerana mampu merapatkan barisan dalam parti itu yang sebelum ini mempunyai kelompok tertentu.

"Kalau dulu masuk dewan ini (Dewan San Choon), (MCA) saya dengar ada team A, ada pula kata team B, ada kata team C. Hari ini cuma team 1MCA sahaja.

"Jadi saya rasa boleh tidur lena malam ini kerana senarai calon pilihan raya daripada MCA akan berpandu kepada calon-calon paling sesuai bagi sesuatu kawasan. Inilah proses yang dikatakan meremajakan semula MCA. Kita nak pulihkan MCA di kaca mata rakyat, kaca mata pengundi, komuniti Cina di Malaysia," katanya.

Dalam ucapannya, Najib turut berkongsi kejayaan lawatannya ke China baru-baru ini sambil menyifatkan ia merupakan penghormatan tertinggi kepada kerajaan.

"Baru-baru ini kita dapat mencapai pencapaian luar biasa dalam lawatan ke China ini. Hasilnya ialah pemeteraian 14 perjanjian berhubung beberapa projek ikonik dan mega bernilai RM144 bilion antara syarikat Malaysia dan China. Bila kita berjaya mendapatkan pelaburan, pembangkang pula cuba menyangkalnya, kononnya kita ini jual kedaulatan negara pula.

"Apa beza pelaburan dari China, dengan Jepun atau dari Amerika Syarikat. Kalau Dr Mahathir ajak kita pandang ke timur, pandang ke Jepun dan Korea, saya pun pandang ke timur. Cuma tambah satu lagi negara iaitu China sebab ia akan jadi ekonomi terbesar di dunia," katanya.

Dalam pada itu, Najib juga berkata beliau telah mengarahkan anggota delegasi negara dalam lawatan itu membangkitkan isu mengenai burung walit dan melaksanakan segera pengeksportan sarang burung mentah yang belum dibersihkan dan sarang burung yang telah diproses ke China.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA